AM > BERITA

324 Kes Maut Pekerjaan Direkod Tahun Lepas - Steven Sim

13/11/2024 12:51 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 324 kes kematian pekerjaan direkodkan di seluruh negara sepanjang tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata statistik kes kematian itu adalah daripada sejumlah 38,950 kes kecederaan pekerjaan yang telah direkodkan dalam tempoh sama.

“Ini menjadikan kadar kecederaan pekerjaan di Malaysia tahun lepas ialah 2.46 bagi setiap 1,000 pekerja, berbanding sasaran 2.32, manakala kadar kecederaan maut pekerjaan adalah 2.05 setiap 100,000 pekerja, berbanding sasaran 3.23 yang ditetapkan dalam OSHMP25 (Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021–2025).

“Statistiknya begitu namun kementerian menerusi JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran dalam soal keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara di sini hari ini.

Menurut Sim, dapatan Laporan Statistik Kecederaan dan Penyakit Pekerjaan Negara 2023 itu dijana berdasarkan analisis komprehensif data kemalangan serta penyakit pekerjaan melibatkan sektor awam dan swasta.

“Data itu diperoleh daripada empat agensi sumber utama iaitu JKKP, Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), data Skim Ex-Gratia Bencana Kerja daripada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Sim berkata menjadi iltizam dan keutamaan kementerian agar pembentukan budaya kerja selamat dan sihat dapat diusahakan bersama majikan dan pekerja seiring prinsip tripartite dipelopori oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Dalam pada itu, Laporan Statistik Kecederaan dan Penyakit Pekerjaan Negara 2023 menunjukkan biarpun kadar kecederaan dan maut pekerjaan pada 2023 melebihi sasaran, namun perbandingan bagi tempoh sedekad mencatat penurunan sebanyak 24 peratus.

“Kadar kecederaan adalah 2.46 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2023 berbanding 3.28 setiap 1,000 pekerja pada 2013 manakala kecederaan maut pekerjaan 2023 pula berkurang sebanyak 56 peratus iaitu 2.05 setiap 100,000 pekerja pada 2023 berbanding 4.62 setiap 100,000 pekerja pada 2013,” menurut laporan itu.

Laporan sama menyatakan JKKP telah menerima 11,747 pelaporan kes penyakit dan keracunan pekerjaan pada 2023, peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding 2020.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan