AM > BERITA

Institusi TVET Perlu Kerjasama Industri Untuk Tawar Program Berkualiti, Relevan - Fadillah

13/11/2024 06:24 PM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Penglibatan aktif pihak industri diperlukan bagi membolehkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan program yang lebih berkualiti serta relevan dengan keperluan pasaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerjasama kukuh antara pemain industri dan institusi TVET penting dalam memastikan padanan antara penawaran dengan permintaan (demand and supply) berlaku secara komprehensif.

Beliau berkata input yang konsisten daripada pihak industri mengenai keperluan dan kemahiran tenaga kerja semasa juga diperlukan bagi membangunkan kurikulum dan program yang bersesuaian.

"Jalinan kerjasama erat bersama pihak industri ini dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu untuk menguasai teknologi terkini yang mempunyai spillover effect atau kesan limpahan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

"Saya ingin menyeru penglibatan aktif industri di Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyokong agenda memperkasakan TVET," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan sedar penawaran aliran TVET di Malaysia perlu ditambah baik agar lebih tersusun dan berkesan.

Beliau berkata penganjuran pertandingan kemahiran merupakan antara usaha kerajaan untuk mempromosi dan memastikan kualiti penyampaian latihan TVET di Malaysia selari dengan standard antarabangsa.

"Saya ingin menyeru agar agensi-agensi TVET dapat menganjurkan pertandingan kemahiran di peringkat institusi masing-masing agar kita dapat memilih bakat yang terbaik ke peringkat kebangsaan dan seterusnya peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam ucapannya, Fadillah turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen negara yang telah mengharumkan nama negara dalam WorldSkills Competiton Lyon 2024 di Eurexpo Lyon, Perancis pada 10 hingga 15 Sept lepas. 

Pada pertandingan itu, Malaysia yang diwakili 15 peserta dan 14 pakar meraih lima pingat iaitu satu pingat gangsa dalam kategori Beauty Therapy menerusi Wong Hsun Wei serta empat pingat Medallion for Excellence.

Medallion for Excellence diraih Muhammad Nasran Ahmad bagi kategori Dandanan Rambut, Ahmad Muizuddin Mohd Razi (Bricklaying), Muhammad Hakimi Abu Bakar (Pemasangan Elektrik) dan Stephen Sim Shan Siong menerusi Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan