AM > BERITA

Undang-undang Berkaitan Maritim Perlu Dipinda Untuk Kekal Relevan - Loke

14/11/2024 08:36 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Undang-undang berkaitan sektor maritim perlu dipinda dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran zaman dan keperluan semasa, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata terdapat beberapa undang-undang dalam sektor berkenaan yang diguna pakai hingga kini sudah ketinggalan zaman kerana ia diwarisi dari zaman penjajahan British.

“Sekarang dunia dokumentasi perlu melalui digital. Ini antara faktor kenapa ia perlu dipinda.

“Apa (faktor) yang penting adalah negara kita sebuah negara perdagangan yang ada barangan dagangan dibawa melalui jalan laut kerana kita ada banyak pelabuhan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Bengkel Ekonomi Maritim anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA) di sini hari ini.

Berkongsi undang-undang berkaitan maritim yang telah dipinda, Loke berkata kerajaan pada Mei 2016 telah meluluskan Ordinan Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2016 bagi menyeragamkan perundangan maritim negara agar selaras dengan komuniti maritim antarabangsa.

Beliau berkata sektor maritim memainkan peranan penting dan ia antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan hampir 95 peratus nilai perdagangan negara adalah daripada sektor berkenaan.

“Sektor ini juga bukan hanya tertumpu kepada perdagangan tetapi pelabuhan, pelancongan, perikanan dan sumber tenaga,” katanya.

Menyedari kepentingan sektor itu kepada negara, Loke berkata sudah tiba masa untuk semua pihak berkepentingan dan pemain industri berganding bahu dengan kerajaan memperkasakan sektor maritim secara bersepadu.

“Bidang pelabuhan dan perkapalan biasanya silo dan tidak ada satu bentuk kerjasama strategik yang dapat menghasilkan satu nilai lebih tinggi. Kena ada satu usaha bersama,” katanya menambah negeri lain perlu mengikut jejak langkah Sabah yang menjadi pelopor Ekonomi Biru di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat syarikat perkapalan yang beroperasi di Malaysia menyediakan perkhidmatan membekalkan senjata api kepada Israel untuk tujuan genosid di Palestin.

“Setakat ini saya belum terima sebarang maklumat. Kita kena siasat jika ada dakwaan tersebut dan kementerian akan melihat tindakan yang boleh diambil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan aktivis pro-Palestin mendakwa menerima maklumat dari luar negara bahawa terdapat syarikat tempatan yang menguruskan penghantaran kontena bahan letupan ke Israel.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan