AM > BERITA

Protokol Kawalan Cuaca Langkah Awal Hadapi Musim Kemarau - PBAPP

15/11/2024 04:00 PM

GEORGE TOWN, 15 Nov (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melaksanakan protokol kawalan cuaca kering sebagai persediaan kemungkinan bermulanya musim kemarau awal tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K Pathmanathan berkata langkah itu termasuk mengehadkan pengeluaran dari Empangan Air Itam, mengepam air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan bekalan Air Itam dan mengoptimumkan pengeluaran air terawat di LRA Air Itam berdasarkan ketersediaan air mentah daripada dua muka sauk air mentah lain di Air Itam.

Selain itu, beliau berkata langkah turut diambil dengan meminimumkan pelepasan dari Empangan Teluk Bahang kepada 60 JLH, mengepam air berlebihan sebanyak mungkin dari Kolam Takungan Air (KTA) Batu Ferringhi dan Sungai Pinang untuk mengisi semula Empangan Teluk Bahang serta mengoptimumkan pengeluaran air terawat di LRA Batu Ferringhi dan Sungai Pinang.

“Kebiasaannya, awal tahun menandakan bermulanya musim kemarau di Pulau Pinang yang mungkin berlangsung selama tiga hingga empat bulan. Walaupun Januari 2025 hanya satu bulan setengah lagi, tetapi PBAPP telah memilih jalan ‘selamat’ dengan memulakan pelaksanaan protokol ‘kawalan cuaca kering’ pada November 2024.

“Matlamatnya adalah memaksimumkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menjelang 31 Dis 2024 agar Pulau Pinang berada dalam posisi terbaik untuk menghadapi suku pertama 2025 yang berpotensi panas dan kering,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan memaklumkan hujan sejak September lepas telah meningkatkan paras simpanan air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang namun belum mencapai tahap optimum untuk persediaan menghadapi musim kering akan datang.

Menurutnya, setakat semalam kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada tahap selamat iaitu 2,159 juta liter (ML) atau 81.5 peratus, begitu juga Empangan Teluk Bahang yang turut merekodkan peningkatan kapasiti kepada 51.2 peratus berbanding 25.8 peratus pada 31 Ogos lepas.  

Bagaimanapun, katanya jumlah itu dilihat belum selamat memandangkan Empangan Teluk Bahang lebih besar berbanding Empangan Air Itam dan banyak taburan hujan diperlukan bagi meningkatkan kapasiti empangan tersebut.

“Manakala tiada isu dilaporkan di Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) ia bukan empangan harian. Buat masa ini, EMD berfungsi terutamanya sebagai ‘rizab kemarau strategik’ dan hanya akan dilepaskan apabila PBAPP tidak dapat mengabstrak air yang mencukupi dari Sungai Muda,” katanya.

Pathmanathan pada masa sama merayu kepada 689,786 pengguna di Pulau Pinang supaya berjimat dalam penggunaan air bagi menyokong usaha PBAPP dalam memastikan bekalan air dapat dinikmati secara berterusan tanpa sebarang gangguan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan