IPOH, 16 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima zakat perniagaan daripada tujuh syarikat korporat berjumlah RM9.7 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dekat sini hari ini.
MAIPk dalam kenyataan memaklumkan penyerahan itu didahului Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Badrul Hisyam Ibrahim, dengan zakat berjumlah RM1.06 juta disusuli Felcra Berhad, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Idris Lasim, dengan zakat berjumlah RM1.03 juta.
“Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad diwakili Pengerusi Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi dengan zakat berjumlah RM128,523 dan Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad diwakili Pengerusi Nor Sharifuddin Yeop Sabar (RM423,276).
“Syarikat lain, Lembaga Air Perak (LAP) diwakili Pengurus Besar Lokman Abd Rahim (RM4.7 juta), Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul (RM1.7 juta) dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dengan RM650,000 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Anuar Zainal Abidin,” menurut kenyataan itu hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Raja Kecil Sulong Perak Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh.
Terdahulu, Sultan Nazrin Shah turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan anggota MAIPk kepada Pengarah Pendidikan Negeri Perak Safuan Raba'ai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial