Daripada M. Saraswathi
RIO DE JANEIRO (Brazil), 19 Nov (Bernama) -- Kuasa veto Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diberikan kepada lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) atau dikenali sebagai negara-negara P5, sepatutnya lebih inklusif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketetapan semasa adalah sangat tidak adil. Seharusnya perlu ada wakil dari Amerika Latin dan Afrika (dalam UNSC),” katanya sambil menambah bahawa reformasi PBB telah dibincangkan lima dekad lamanya.
“Kita bercakap mengenai reformasi institusi PBB. Kami bercakap tentang ideal, kemanusiaan, nilai kemanusiaan..
“..tiada perwakilan dari Afrika, tiada perwakilan untuk Amerika Latin (dalam UNSC), siapa yang peduli? Oleh itu kita perlu menimbangkan perwakilan demokratik yang mencukupi dari wilayah Amerika Latin dan Afrika. Amat tidak adil untuk meneruskan ketetapan semasa berhubung UNSC dengan mengecualikan perwakilan dari wilayah ini,” katanya pada sesi kedua “Reform of the Institutions of Global Governance” di Sidang Kemuncak G20 di sini, Isnin.
Anggota tetap UNSC yang terdiri daripada negara China, Perancis, Rusia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat juga dikenali sebagai Permanent Five, Big Five, atau P5.
Anwar berkata seruan untuk pembaharuan PBB mesti mengambil kira prinsip-prinsip perwakilan.
Gesaan Perdana Menteri itu dilihat sejajar dengan Deklarasi Pemimpin G20 Rio de Janeiro, yang menggariskan keperluan untuk pembaharuan transformatif Majlis Keselamatan PBB, yang bertujuan menyelaras Majlis itu dengan realiti dan tuntutan abad ke-21
Pembaharuan yang dicadangkan itu bertujuan untuk menjadikan Majlis Keselamatan lebih representatif, inklusif, cekap, berkesan, demokratik dan bertanggungjawab, lebih telus kepada seluruh anggota PBB untuk membolehkan perkongsian tanggungjawab yang lebih baik dalam kalangan semua negara anggota. Ini termasuk menambah baik keberkesanan dan ketelusan kaedah kerja Majlis berkenaan.
Deklarasi itu juga menekankan keperluan untuk komposisi Majlis Keselamatan diperbesarkan, yang akan menambah baik aspek perwakilan bagi wilayah dan kelompok yang kurang diwakili dan tidak diwakili, seperti Afrika, Asia-Pasifik dan Amerika Latin dan Caribbean.
Sementara itu selain pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak G20 dengan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Isnin.
Perbincangan dengan Ramaphosa tertumpu pada usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang diplomasi, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.
Perbincangan dengan Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer turut berkisar kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Dia menjemput saya untuk melawat ke United Kingdom. Kita sedang kaji,” kata Anwar.
Anwar berkata perbualan dengan Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính pula menyentuh mengenai ASEAN, terutamanya Grid Tenaga ASEAN dari Vietnam, melalui Semenanjung ke Singapura.
“Vietnam menyokong inisiatif ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial