GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Lau di sini akan dijadikan tapak baharu bagi projek pembinaan rumah pam dan tangki sedutan air berbanding cadangan awal di kawasan padang awam di kawasan Permatang Damar Laut.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata projek dengan keluasan tanah kira-kira 6,890 meter persegi itu akan bermula pada suku kedua 2025 dan siap sepenuhnya pada suku kedua 2027, namun jumlah perbelanjaannya masih belum dimuktamadkan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata keputusan itu dibuat selepas hasil sesi libat urus secara terbuka bersama penduduk tempatan, kerajaan negeri yang diwakili oleh beliau sendiri selaku ADUN di situ, Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) serta Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Silicon Island Development Sdn Bhd (SID) Azmi Mohamad.
"Semasa sesi berkenaan, penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pembinaan projek tersebut di atas padang awam yang penting bagi aktiviti masyarakat dan walaupun pihak pemaju telah mencadangkan pembinaan kemudahan bernilai RM8 juta termasuk dewan tertutup, gelanggang sukan serta gerai makanan namun penduduk tetal berharap kawasan tersebut dikekalkan sebagai ruang hijau untuk kegunaan komuniti
"Setelah meneliti maklum balas penduduk dan pihak berkepentingan, kerajaan negeri memutuskan padang awam itu dikekalkan sebagai ruang komuniti dan sebagai alternatif memilik tapak baharu di PPSN iaitu tanah kerajaan negeri untuk pembinaan rumah pam dan tangki sedutan air tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu Pegawai Daerah Barat Daya Mohd Hafiz Aswad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif PIC Datuk Farizan Darus dan Azmi.
Mohamad berkata kerajaan negeri juga menyediakan tanah dengan keluasan yang sama untuk dinaik taraf menjadi Medan Selera Matang yang baharu yang dijangka menjadi destinasi tumpuan dengan reka bentuk moden selaras dengan pembangunan Pulau Silikon.
Beliau berkata medan selera bernilai RM8 juta itu akan mengandungi tiga restoran, tujuh gerai, empat 'food cart' dengan 200 tempat duduk iaitu separuh tertutup dan separuh terbuka.
"Kedai makan yang sedia ada sekarang akan ditempatkan di situ selain kita akan buka ruang yang ada untuk peniaga lain namun hanya medan selera, rumah pam dan tangki sedutan air sahaja akan dibina di situ, tiada dewan tertutup dan gelanggang sukan," katanya.
Beliau berkata pengambilan tanah hanya melibatkan tanah rizab kerajaan tanpa melibatkan tanah milik individu dan struktur sedia ada di atas tanah tersebut akan diuruskan dengan prihatin serta pemilik telah dimaklumkan mengenainya.
Sementara itu, Farizan berkata projek pembinaan rumah pam dan tangki sedutan air tersebut itu akan dapat menampung keperluan pengoperasian dalam fasa satu zon perindustrian di Pulau Silikon.
Farizan berkata pihak industri dijangka mula masuk ke Pulau Silikon pada 2027 iaitu selepas projek tersebut siap sepenuhnya.
"Kita kena siapkan projek tersebut dulu dan selepas itu baru pihak industri boleh masuk ke Pulau Silikon. Perkembangan terkini Pulau Silikon ialah kerja-kerja tambakan hingga akhir bulan lepas telah mencapai 21.85 hektar," katanya.
Mengulas mengenai keadaan Pantai Esen, Permatang Damar Laut yang dipenuhi lumpur sebelum ini, Farizan berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah mengambil sampel di lokasi berkenaan dan menghantarnya ke makmal serta keputusanya dijangka diketahui awal atau pertengahan Disember.
"Kalau ikut pemantauan yang kita jalankan ketika ini ada sedikit sahaja (lumpur) dan pasukan perunding juga sedang buat kajian terperinci mengapa jadi begitu, kami juga tunggu keputusan (makmal) sebab nak tahu juga apa sebenarnya benda itu (lumpur)," katanya.
Sebelum ini media melaporkan keadaan Pantai Esen yang dipenuhi lumpur dan berbau dengan air pantainya berwarna kehitaman, dipercayai ada kaitan dengan projek penambakan yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial