AM > BERITA

Syarikat Teknologi Taiwan Perkenal Penyelesaian Pembuatan Pintar Di SMART NATION 2024

19/11/2024 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Syarikat teknologi Taiwan mempamerkan teknologi baharu bagi merangsang sektor pembuatan pintar Malaysia ke arah memodenkan landskap industri, di Pavilion Pembuatan Pintar Taiwan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Acara berkenaan yang diadakan bersempena dengan SMART NATION 2024 dari 19 hingga 21 Nov, menampilkan enam syarikat terkemuka Taiwan yang mempamerkan teknologi dan penyelesaian terkini dalam pembuatan pintar, mobiliti pintar, automasi, Enterprise War Room, mesin pemeriksaan penglihatan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan.

Enam syarikat berkenaan ialah NexAIoT Co. Ltd., HIWIN Technologies Corp, SYNTEC Technology, S-LINK System Inc, GMT Global Inc dan Pitotech Co. Ltd.

Pengarah Urusan ASEAN IPC System BU NexAIoT Co Ltd Gred Teh yang turut mempamerkan teknologi teras baharu, NexAIoT Data Acquisition System (nDAS) berkata syarikatnya menyediakan penyelesaian AIoT (gabungan AI dan Internet pelbagai benda) canggih yang direka khusus untuk industri seperti pembuatan semikonduktor yang penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kami mereka bentuk produk nDAS secara khusus bersama dengan peranti AIoT lain, untuk menyokong pengumpulan dan pemprosesan data masa nyata. Dengan menyambungkan sensor terus ke perkakasan kami, data daripada mesin disimpan dan dipancar ke awan, membolehkan cerapan masa nyata dan pembuatan keputusan dalam proses pembuatan pintar.

“Produk dan penyelesaian ini sangat kos efektif dari segi perkakasan dan perisian. Produk nDAS boleh digunakan perusahaan sederhana termasuk industri berteknologi tinggi. Jadi, inilah produk AI kompak kami,” katanya kepada Bernama pada sesi Pelancaran Teknologi dan Produk Inovatif di sini hari ini.

Selain itu, Teh percaya bahawa landskap industri Malaysia yang lebih luas boleh mendapat manfaat daripada inovasi ini, membantu negara mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam teknologi pembuatan termaju.

Sementara itu, Naib Presiden S-LINK Systems Inc Steven Chen turut memperkenalkan penyelesaian yang bertujuan merevolusikan rangkaian pengangkutan bandar Malaysia menerusi teknologi AI yang dapat mengoptimumkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan dan menyumbang kepada matlamat kelestarian alam sekitar negara.

“Pengangkutan pintar ialah mengenai penggunaan AI untuk menganalisis keadaan trafik dan meningkatkan pengurusan lalu lintas secara masa nyata. Dengan memanfaatkan AI, kami boleh melaraskan lampu isyarat secara dinamik, memanjangkan tempoh lampu hijau, bahkan mengubah corak isyarat berdasarkan tahap kesesakan semasa,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penyelesaian berasaskan AI dalam menyokong objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia secara lebih meluas, khususnya dalam mengurangkan jejak karbon dalam sektor pengangkutan.

Syarikat berkenaan turut mempamerkan sistem Mobitrack serba lengkap yang menggabungkan komponen penting, seperti suis, penghala dan unit pemprosesan AI ke dalam satu peranti, mempermudah pemasangan serta mengurangkan risiko isu keserasian.

“Pelaksanaan penyelesaian pengangkutan pintar boleh menjadi rumit kerana melibatkan pelbagai peranti dan sistem. Sistem Mobitrack kami mengintegrasikan semua fungsi ini ke dalam satu unit, menjadikan ia lebih mudah untuk perusahaan menggunakan penyelesaian pengurusan lalu lintas berkuasa AI tanpa kerumitan menyelaraskan pelbagai komponen,” katanya.

Pavilion Pembuatan Pintar Taiwan, dengan tema Taiwan Smart Manufacturing Leads the Future bertujuan menyokong perniagaan Malaysia ke arah pembangunan digital, membina platform kerjasama ekosistem pembuatan pintar antara kedua-dua negara dan meningkatkan produktiviti sektor pembuatan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan