AM > BERITA

'Zero' Dalam Ilmu Niaga, Harisun Kini Miliki Tiga Cawangan Spa Dan Salun Muslimah

20/11/2024 10:22 AM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

IPOH, 20 Nov (Bernama) -- Tidak mempunyai ilmu dalam selok-belok perniagaan bukan penghalang kepada seorang wanita berusia 45 tahun untuk mencuba serta mengusahakan spa dan salun kecantikan sejak 18 tahun lalu.

Pemilik Humaira Muslimah Salon, Spa & Training Centre, Harisun Kassim yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata beliau pada mulanya bekerja di bahagian kawalan kredit di sebuah syarikat swasta, namun terpengaruh dengan rakan sekeliling yang kebanyakannya menjadi usahawan ketika itu.

“Berkat dikelilingi rakan-rakan yang mempunyai ilmu usahawan dan saya juga mengikuti pelbagai kursus keusahawanan, pada tahun 2006 saya meninggalkan kerjaya tetap dan memulakan perniagaan salun dan spa muslimah cawangan pertama saya,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu kini mempunyai tiga cawangan spa dan salun kecantikan di Jalan Labrooy, Taman Cempaka serta Taman Perpaduan yang menawarkan rawatan rambut, rawatan muka, mandian dan rawatan badan khusus untuk golongan muslimah sahaja.

Menurutnya spa dan salun kecantikannya menawarkan harga serendah RM20 sehingga RM280 mengikut pakej yang ditawarkan untuk pelanggan termasuk rawatan kecantikan kepada bakal pengantin.

Pemegang Diploma Pengurusan Kewangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu ini berkata pada mulanya beliau menerima pembiayaan sebanyak RM20,000 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bagi membuka salun pertamanya di Taman Perpaduan pada 2006.

Beliau kini mempunyai sembilan orang pekerja dan mampu memperoleh keuntungan RM40,000 sebulan hasil daripada ketiga-tiga buah spa dan salun kecantikan yang diusahakannya.

"Kebanyakan wanita muslimah memang sukakan salun dan spa kecantikan yang tidak bercampur dengan golongan lelaki kerana mahu menjaga aurat dan berasa selesa semasa menjalani rawatan," katanya.

Selain itu, Harisun turut menjadi tenaga pengajar bagi melatih usahawan yang berminat untuk menambah kemahiran dalam bidang terapi kacantikan seperti kursus gunting rambut, penjagaan dalam pantang bersalin, solekan serta spa terapi.

"Saya juga dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) untuk menjadi tenaga pengajar bagi melatih usahawan baharu," katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam dunia kecantikan, beliau pernah menerima Anugerah Usahawan Srikandi Usahanita Negeri Perak pada 2022 daripada kerajaan negeri Perak serta beberapa pengiktirafan daripada pelbagai pihak.

"Saya hampir hendak menutup spa dan salun kecantikan ini semasa tempoh pandemik COVID-19 disebabkan terlalu lama tidak beroperasi dan tidak memperoleh pendapatan selama beberapa bulan ketika itu.

"Namun, Alhamdulillah ada hikmah di sebalik musibah pandemik COVID-19 kerana spa dan salun kecantikan saya dikunjungi ramai pelanggan selepas itu sehingga memperoleh keuntungan lebih daripada biasa.

"Insya-Allah sekiranya ada rezeki, saya juga mempunyai perancangan untuk membuka cawangan spa dan salun kecantikan di kawasan lain di sekitar Ipoh pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan