AM > BERITA

Sabah Catat Lebih 2.4 Juta Pelancong Sembilan Bulan Pertama Tahun Ini

20/11/2024 06:11 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Sabah mencatatkan 2.41 juta ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan pelancong teramai dari China iaitu 39 peratus daripada jumlah berkenaan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata kedatangan pelancong ini meningkat 28.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan telah menjana perbelanjaan pelancongan mencecah RM5.62 billion.

"Peningkatan ketara ini didorong jumlah penerbangan pada tahun ini dengan 98 peratus ketibaan adalah melalui pengangkutan udara. Sebanyak 377 penerbangan domestik dengan 66,546 kapasiti tempat duduk seminggu yang menghubungkan Sabah kepada beberapa negeri di Malaysia.

“Manakala bagi sektor antarabangsa, 17 destinasi dengan jumlah penerbangan seminggu sebanyak 126 dengan kapasiti 23,394 tempat duduk,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan Sabah 2025) bagi kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan AirAsia merupakan syarikat penerbangan utama yang menyediakan perkhidmatan penerbangan antarabangsa dengan menghubungkan Sabah kepada 15 destinasi.

Christina berkata Sabah juga bakal menerima empat lagi perkhidmatan laluan terus antarabangsa pada bulan ini dan bulan depan.

Beliau berkata sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah telah melancarkan kempen “Explore Sabah” untuk dilaksanakan sepanjang tahun depan. 

"Kempen ini yang dilancarkan semasa penyertaan Sabah di acara pelancongan berprestij dunia iaitu World Travel Mart di London pada 4 hingga 6 Nov lepas bertujuan memperkenalkan produk pelancongan Sabah melalui tiga tema utama iaitu Kebudayaan, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan