AM > BERITA

2TM: Pelbagai Aktiviti Menarik, Jualan Menanti Pengunjung

20/11/2024 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini, di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur di sini. 

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) menerusi laman Facebook memaklumkan Program 2TM dengan tema 'MADANI di hati, Rakyat disantuni' berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang itu menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan program 2TM pada 11 pagi, Sabtu ini. 

Selain pengurangan saman hingga 60 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut dijangka menjadi tumpuan ialah Karnival Kerjaya yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan dengan penglibatan lebih 40 majikan dan pertukaran 5,000 topi keledar secara percuma.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula menawarkan penukaran al-Quran secara percuma dengan pengunjung boleh membawa al-Quran yang tidak mempunyai perakuan KDN atau rosak manakala Kementerian Pengangkutan pula menyediakan kaunter pembayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pembaharuan lesen memandu serta lesen kenderaan motor. 

Perkhidmatan rundingan cara hidup sihat dan klinik rawatan merokok antara tarikan di reruai Kementerian Kesihatan (KKM) manakala Kementerian Kerja Raya (KKR) menawarkan perkhidmatan pendaftaran kontraktor Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan tawaran kursus serta latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kementerian Komunikasi menerusi jabatan dan agensinya seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penyiaran dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga menawarkan pelbagai aktiviti interaktif di reruai masing-masing.

Kementerian Kewangan pula menawarkan antaranya semakan wang tidak dituntut, semakan laporan kredit individu (CCRIS/CTOS), semakan kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain turut memberi pendedahkan isu penipuan pelaburan. 

Pelbagai inisiatif kerajaan MADANI untuk meningkatkan pendapatan rakyat serta advokasi berkaitan Kongres Ekonomi Bumiputera dan banci pertanian serta yang berkaitan input bagi Rancangan Malaysia Ke-13 antara yang diketengahkan Kementerian Ekonomi pada program 2TM. 

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan antara pengisian mereka ialah Jualan MADANI yang menawarkan pelbagai keperluan harian dengan potongan hingga 30 peratus, selain tawaran produk usahawan lokal pada harga berpatutan. 

"Sesi Padaniaga dan BIAYA Usahawan yang bertujuan membantu usahawan meluaskan pasaran produk dan memberi pendedahan mengenai peluang akses perniagaan bagi mengembangkan perniagaan," menurut KUSKOP di akaun media rasmi mereka. 

Pada program 2TM, Kementerian Pertahanan membuka reruai pameran senjata ringan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kaunter perkhidmatan veteran dan promosi askar wataniah manakala antara inti pati di reruai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ialah nasihat dan perkhidmatan aspek perumahan. 

Sementara itu, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pula antara lain, membincangkan pembaharuan  sektor awam yang inklusif dan berdaya saing oleh pemimpin, pakar dan komuniti. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan