Daripada Samantha Tan Chiew Tieng
BAKU (Azerbaijan), 20 Nov (Bernama) -- Ketika Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) memasuki minggu terakhir, momentum di Pavilion Malaysia terus meningkat dengan tumpuan kepada strategi yang boleh dilaksanakan dan berimpak tinggi bagi memacu aspirasi iklim global.
Pada minggu pertama COP29, Pavilion Malaysia menjadi hab bagi pertukaran pengetahuan mengenai topik-topik kritikal seperti “Future-Proofing Our Environment”, “Just Transitioning”, “Powering Through Change”, “Closing the Loop in Local and Global Consumer Demands” dan “Climate Tech”.
Sebanyak 26 sesi yang menampilkan 39 penceramah terkemuka mewakili suara tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang, berjaya menarik 910 pengunjung untuk membincangkan secara mendalam mengenai kepimpinan Malaysia dalam amalan kelestarian, kerjasama serantau dan penyelesaian inovatif bagi masa depan lebih berdaya tahan.
Malaysia juga menyeru agar tindakan dan kemajuan yang dicapai ketika COP29 dapat mengukuhkan lagi komitmen untuk mencapai sasaran sifar bersih, kerjasama serantau serta memupuk ekonomi kitaran.
Usaha mencapai sifar bersih menjelang 2050 diterima sebagai matlamat bersama, mendorong kepada dasar dan tindakan di pelbagai sektor di seluruh dunia. Bagaimanapun, ketika inovasi teknologi dan rangka kerja peraturan berkembang, cabaran sebenar terletak pada memastikan aliran pendanaan iklim yang lancar bagi tindakan iklim yang mampan.
Kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 terus menjadi fokus utama dengan perbincangan tertumpu kepada peranan negara dalam memimpin inisiatif serantau seperti penyahkarbonan, pemuliharaan biodiversiti dan pendanaan iklim yang saksama.
Selain itu, sektor tenaga dan minyak sawit Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dengan fokus terhadap memastikan kesaksamaan ekonomi dan sosial semasa peralihan Malaysia ke laluan rendah karbon.
Penyertaan Malaysia pada COP29 dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku bertujuan mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti digariskan dalam Belanjawan 2025. Sebanyak 200 delegasi Malaysia diketuai sendiri oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad
Pavilion Malaysia di COP29 bertemakan ‘Shift for Sustainability: Climate Action Now!’ diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial