AM > BERITA

Cukai Taksiran Tidak Boleh Dinaikkan Secara Mendadak - Nga

24/11/2024 05:54 PM

IPOH, 24 Nov (Bernama) -- Proses penilaian semula cukai taksiran mesti mementingkan kebajikan rakyat dengan kadar cukai berkenaan tidak boleh dinaikkan secara mendadak kerana langkah itu boleh membebankan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang menegaskan perkara itu berkata kerajaan mencadangkan kenaikan cukai dilakukan secara beransur-ansur dan mengambil kira kadar inflasi semasa.

Beliau berkata sebagai contoh, kadar cukai taksiran hanya boleh dinaikkan sebanyak dua hingga lima peratus sahaja setiap dua tahun.

“Pendekatan ini telah berjaya di Pulau Pinang dengan kadar kenaikan kecil tetapi konsisten telah menerima sambutan baik daripada rakyat. Saya yakin Ipoh juga boleh mengkaji dan mengambil pendekatan serupa agar rakyat tidak terbeban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 Nov, media melaporkan semakin ramai warga bandar raya Ipoh yang mengemukakan bantahan terhadap kadar baharu cukai taksiran sebanyak sembilan peratus yang akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Sementara itu, Nga berkata isu cukai taksiran itu telah dibangkitkan dalam Majlis Negara Kerajaan Tempatan baru-baru ini.

“Dasar kerajaan adalah jelas, ini adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Semua bantahan dan maklum balas akan diteliti untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah adil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan