KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga bekas editor Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sahbudin Abdullah yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook, mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
“Inna lillahi wainna ilaihi raji'un. Seorang lagi bekas pengamal media meninggalkan kita hari ini. Takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.
Sahbudin, 73, meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika sedang memandu untuk pulang ke kediamannya pada 1.30 pagi tadi. Allahyarham disahkan menghidap penyakit jantung sejak 2020.
Berita kematian Allahyarham disahkan oleh anak lelakinya, Amrul Karim ketika dihubungi Bernama.
Sahbudin yang berkhidmat di RTM sebagai petugas kontrak tidak berpencen selama 27 tahun hingga 2017, juga merupakan penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, yang diwujudkan bagi membantu pengamal media sedang atau pernah berkhidmat dalam industri media.
Sahbudin sebelum itu pernah berkhidmat di Utusan Malaysia sejak 1980 hingga 1990, serta menjadi koresponden di Jakarta pada tiga tahun terakhir perkhidmatannya di syarikat tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial