PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir di semua peringkat kini dipertingkatkan ke tahap tertinggi, memandangkan bencana itu dijangka lebih teruk berbanding pada 2014, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, Yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata seramai 82,794 pegawai dan anggota diatur gerak bagi menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas khususnya di Pantai Timur.
Beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung 2.1 juta mangsa di seluruh negara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
“Di Kelantan, kita ada 448 PPS yang boleh menampung seramai 175,000 orang dan Terengganu, 749 PPS disediakan untuk menampung kira-kira 214,000 mangsa.
“Jadi dalam keadaan (banjir) yang begitu, kerjasama semua pihak telah dimobilisasikan (memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir di sini hari ini.
Beliau berkata pelbagai aset pasukan keselamatan turut digerakkan antaranya 2,031 bot penyelamat, 1,399 kenderaan pacuan empat roda serta 31 buah helikopter.
Ahmad Zahid turut meminta semua agensi dan jabatan kerajaan untuk menangguhkan segala mesyuarat atau kursus di Kelantan dan Terengganu yang kini dilanda banjir.
“Ini adalah bagi mengelakkan daripada mereka juga terkena bencana, dan kita memohon agar hotel yang menjadi tempat penginapan diberikan keutamaan kepada pegawai dan anggota penyelamat tahun ini,” katanya.
Mengenai situasi banjir di Kelantan, Ahmad Zahid berkata beliau telah berhubung dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud bagi melancarkan operasi mengkoordinasikan banjir membabitkan Kerajaan Pusat dan negeri.
"Setakat ini, Kelantan merupakan kawasan yang paling terjejas akibat banjir, dengan daerah paling teruk adalah di Pasir Mas dan Tanah Merah. Oleh itu, kombinasi kerjasama antara semua pihak amat diperlukan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata badan bukan kerajaan (NGO) juga akan dilibatkan dalam usaha menghadapi banjir, memandangkan mereka memiliki pelbagai kemahiran yang dapat membantu, terutama di PPS.
Beliau berkata tempat yang tidak didaftarkan sebagai PPS dibenarkan untuk dibuka sebagai penempatan sementara atas budi bicara pegawai daerah, bagi memastikan kebajikan setiap mangsa banjir terjaga.
“Sekiranya ada kawasan yang tidak dijangka dilanda banjir, dan tiada PPS, kita benarkan tempat-tempat tersebut dibuka bergantung kepada kriteria yang diguna pakai oleh pengerusi jawatankuasa bencana di peringkat daerah,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi terlibat dalam membuat persiapan menghadapi MTL yang disifatkannya lebih baik tahun ini.
Beliau berkata penduduk di kawasan terkesan akan terus menjadi keutamaan tertinggi sepanjang tempoh MTL, yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan.
MTL atau lebih dikenali musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 Nov dan berterusan sehingga Mac 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial