AM > BERITA

Banjir: 32 Jalan Ditutup Di Terengganu

28/11/2024 05:40 PM

BANDAR PERMAISURI, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 32 jalan membabitkan jalan persekutuan dan jalan negeri di Terengganu ditutup setakat 10 pagi tadi susulan keadaan banjir semakin memburuk.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menerusi laporan hari ini memaklumkan kesemua jalan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan setelah dilimpahi air melebihi kedalaman 0.76 meter (m). 

"Ia membabitkan 12 jalan di daerah Hulu Terengganu antaranya Jalan Bukit Perah-Kuala Kejir di Kampung Jak dan Kuala Kejir, Jalan Simpang Gaung-Sungai Tong di Kampung Teris, Jalan Utama Bukit Diman-Tersat di Kampung Pengkalan Ajal dan Jalan Aring 8-Kuala Jeneris di Kampung Pasir Dula.

"Enam jalan ditutup di daerah Setiu termasuk Jalan Chalok di Kampung Lubok Panjang dan Jalan Kampung Bukit di Kampung Bukit manakala masing-masing lima jalan ditutup di daerah Kemaman dan Dungun, termasuk empat di Besut," menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan 13 jalan iaitu lima di Setiu, Hulu Terengganu (tiga), Besut (dua), dan masing-masing satu di Kemaman, Marang dan Dungun yang dinaiki air sedalam 0.35m hingga 0.75m pula ditutup untuk kenderaan ringan.

Menurut kenyataan itu, hanya Jalan Kenyir-Aring di Kilometer 87-89 di Hulu Terengganu berlakunya masalah jalan mendap setakat ini. 

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di seluruh Terengganu bermula semalam hingga Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan