DUNIA > BERITA

Perdana Menteri Timor-Leste Lakukan Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Malaysia Mulai 1 Dis

01/12/2024 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 1 hingga 3 Dis 2024.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas dilantik ke jawatan itu pada 1 Julai 2023.

Menurut Kementerian Luar Negeri (KLN), Xanana Gusmao akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala, serta potensi kerjasama antara kedua-dua negara pada masa hadapan,” menurut kenyataan kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra pada Sabtu.  

Kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pembangunan kapasiti dan kesalinghubungan adalah antara perkara yang bakal dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin semasa pertemuan itu.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa mereka akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah berkenaan pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Timor-Leste bagi pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili.

Keputusan Timor-Leste untuk menghadiahkan tanah itu kepada Malaysia sebagai tanda penghargaan di atas bantuan dan sokongan yang diberikan oleh Malaysia sejak sebelum kemerdekaan negara itu.

Dalam perkembangan lain, kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa yang akan memberikan kemudahan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua buah negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadualkan menjadi hos Majlis Jamuan Rasmi bagi meraikan Xanana Gusmao dan delegasinya di Seri Perdana, Putrajaya.  

Beliau juga dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.  

Semasa lawatan ini, Xanana Gusmão juga akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “International Diplomacy in an increasingly fragmented and fragile world” di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).

“Lawatan ini dilihat dapat mempertingkat usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan baik dan mesra yang dinikmati selama ini serta membuktikan sokongan Malaysia dalam merealisasikan hasrat Timor-Leste untuk menjadi Negara Anggota Penuh ASEAN,” menurut Wisma Putra.  

Pada 2023, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste berjumlah US$43.7 juta (RM196.7 juta).

 Jumlah eksport Malaysia ke Timor-Leste mencatat US$43.3 juta (RM195.0 juta), manakala jumlah import produk daripada Timor-Leste pula berjumlah US$0.4 juta (RM1.7 juta).

-- BERNAMA  

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan