AM > BERITA

MBI Setuju Kurangkan Lagi Cukai Taksiran

28/11/2024 09:01 PM

IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersetuju untuk mengurangkan lagi kadar baharu cukai taksiran iaitu lebih rendah berbanding cadangan sembilan peratus sebelum ini. 

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata keputusan itu dibuat meskipun hanya 18,000 sahaja daripada 319,000 pemilik hartanah yang mengemukakan bantahan setelah ditutup pada 22 Nov lepas.

"Kalau ikutkan hanya enam peratus sahaja yang kemukakan bantahan tidak sampai 10 peratus pun, sangat rendah manakala 94 peratus lagi tidak membantah secara rasmi. 

"Namun walaupun hanya segelintir sahaja yang membuat bantahan, kita tetap buat semakan serta pertimbangan malah kita sudah pun jalankan mesyuarat khas untuk turunkan sedikit lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan November di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan untuk menurunkan kadar cukai daripada sembilan peratus itu telah dipersetujui dalam mesyuarat khas yang diadakan hari ini dan dijangka diumumkan pada hujung tahun ini atau Januari 2025.

Kenaikan cukai taksiran itu akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 berikutan perubahan nilai tahunan hartanah setelah 42 tahun tidak dilakukan. 

Pada Ahad lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan mencadangkan supaya kenaikan cukai dilakukan secara beransur-ansur dan mengambil kira kadar inflasi semasa.

Sementara itu, Rumaizi berkata pembangunan semula Pasar Pasir Pinji dijangka siap pada November 2026 dan akan menelan belanja RM13.95 juta. 

"MBI telah melantik kontraktor utama bagi projek ini untuk tempoh 104 minggu bermula 20 Nov lalu dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun iaitu pada 18 Nov 2026. 

"MBI juga berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek yang dianggarkan sebelum ini sebanyak lebih RM16 juta kepada RM13.95 juta sahaja ," katanya. 

Beliau berkata ketika ini semua peniaga di Pasar Pasir Pinji ditempatkan di tapak sementara yang dibina dengan kos RM1.48 juta bermula 1 Julai lepas sehingga projek bina semula siap sepenuhnya.

"Mereka (kontraktor) sudah boleh mulakan kerja-kerja dan MBI akan memastikan kontraktor yang dilantik untuk projek ini mampu menyiapkan kerja tepat pada masanya. 

"Pasar itu dijangka mempunyai beberapa ciri pasar baharu di mana ia merupakan pasar dengan bangunan hijau pertama yang mempunyai indeks bangunan hijau, bangunan mesra dan lestari alam," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan