GUA MUSANG, 30 Nov (Bernama) -- Trauma dengan pengalaman pahit ketika dilanda bah kuning 2014, masyarakat orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, memutuskan untuk kekal menetap di bangsal yang dibina di atas bukit biarpun banjir telah reda.
Penghulu Kampung Pasir Linggi Harun Ismail berkata setakat ini, 50 keluarga masih enggan pulang ke rumah masing-masing khususnya yang terletak di kawasan lebih rendah kerana takut dan bimbang peristiwa banjir 10 tahun lepas berulang.
“Kami masih lagi trauma kerana tragedi itu berlaku secara tiba-tiba dengan pantas tanpa ada persediaan. Jadi kali ini, kami memutuskan untuk menunggu lebih lama di atas bukit kerana risau akan berlaku banjir lagi.
“Cuaca di kawasan kampung ini masih hujan, manakala Sungai Linggi melimpah hingga kediaman kami dan menenggelamkan jambatan di kampung ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Harun berkata masyarakat Orang Asli itu mula berpindah ke kawasan bukit sejak Isnin lepas dan tinggal di bangsal yang dibina lebih sebulan lepas, untuk tempoh seminggu lagi.
“Segala persediaan awal telah dibuat termasuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan mencukupi sepanjang tinggal di atas bukit dan kami juga tidak lupa membawa bersama dokumen penting.
“Sewaktu bah kuning 2014 melanda, kami terpaksa meninggalkan rumah sehelai sepinggang tanpa sebarang bekalan makanan. Pengalaman itu tidak mungkin dilupakan kerana kami terpaksa berlapar dan makan secara ala kadar sahaja," katanya.
Pada 27 Nov lepas, hampir 400 penduduk Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir mula berpindah ke bangsal yang dibina di atas bukit berhampiran penempatan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Jamlus Musa dilapor berkata kawasan rendah di perkampungan itu mula digenangi air susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas yang menyebabkan air Sungai Linggi mula melimpah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial