AM > BERITA

Setiausaha Negara Scotland Ian Murray Lawat Heriot-Watt University Malaysia

02/12/2024 01:33 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Heriot-Watt University Malaysia amat berbangga diberi penghormatan menerima kunjungan Setiausaha Negara Scotland Ian Murray, sempena lawatan antarabangsa sulung beliau ke Malaysia.

Lawatan ke kampus lestari universiti itu di Putrajaya pada 28 Nov itu menandakan pencapaian penting dalam pengukuhan hubungan antara Scotland dan Malaysia, serentak dengan pelancaran inisiatif Brand Scotland di Malaysia dan Singapura.

Dengan diiringi Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur David Wallace, ketibaan Murray disambut oleh Provos dan Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia Prof Mushtak Al-Atabi, bersama anggota barisan kepimpinan universiti dan Suruhanjaya Tinggi British.

Kemuncak lawatan itu ialah perbincangan menarik bersama Murray yang dikendalikan Presiden Persatuan Mahasiswa Heriot-Watt University Malaysia Pearlyn Tan.

Inisiatif Brand Scotland dan program The GoGlobal (program pemindahan antara kampus yang hanya tersedia untuk mahasiswa Heriot-Watt) menjadi antara tajuk perbincangan.

Lawatan itu turut merangkumi sesi wawancara eksklusif bersama Bernama, yang menyentuh kerjasama antara Malaysia dan Scotland dalam pelbagai bidang.

Dalam wawancara itu, Murray menekankan potensi besar untuk memperkukuh hubungan dua hala melalui kerjasama dalam pelbagai sektor seperti teknologi hijau serta penyelidikan dan pembangunan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Mengulas mengenai peluang antara kedua-dua negara, beliau berkata Scotland dan Malaysia sedang meneroka pelbagai peluang kerjasama dalam sektor teknologi hijau, selaras usaha global ke arah masa depan tenaga yang lestari dan bersih.

Murray berkata usaha memupuk inovasi melalui perkongsian antarabangsa adalah kunci kepada kejayaan kedua-dua negara dalam perlumbaan tenaga hijau global.

“Teknologi hijau adalah satu daripada peluang besar di peringkat global. Satu daripada misi Kerajaan Parti Buruh United Kingdom (UK) yang baharu adalah untuk mencapai kuasa bersih menjelang 2030. Kita tahu ada perlumbaan global untuk menjadi kuasa besar tenaga dan sudah tentu kita semua ingin menjadi sebahagian daripadanya.

“Namun sekiranya kita berhasrat memenangi perlumbaan itu, kita hanya boleh melakukannya menerusi kerjasama dengan negara lain dalam aspek inovasi, penyelidikan dan pembangunan, pelaburan langsung, serta memanfaatkan peluang-peluang berkenaan di peringkat global.

“Masa depan tenaga bersih adalah masa depan yang menyaksikan pengeluaran tenaga dunia beralih daripada bahan api fosil dan sumber tidak boleh diperbaharui kepada sumber tenaga lebih bersih dan boleh diperbaharui. Peralihan ini penting untuk mengehadkan pemanasan global dan kesan perubahan iklim,” katanya.

Murray berkata kemahiran dalam sektor minyak dan gas, yang banyak terdapat di kedua-dua negara, boleh diadaptasi untuk peralihan kepada tenaga hijau.

“... jadi pemindahan teknologi itu amat penting. Dan asas pengetahuan yang ada sangat luas. Kemahiran (industri) minyak dan gas kita dikongsi antara kedua-dua negara, dan kemahiran ini akan membantu kita membangunkan industri tenaga angin luar pesisir dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Ditanya bidang utama untuk memperluaskan perdagangan antara Malaysia dan Scotland, ahli politik Scotland itu menekankan kepentingan strategik ‘Brand Scotland’ dalam memperkukuh hubungan yang lebih mendalam, terutamanya di negara seperti Malaysia, yang berkongsi hubungan sejarah kukuh dengan Scotland.

Mengulas lanjut beliau berkata inisiatif-inisiatif ini bertujuan mewujudkan hubungan yang lebih bermakna dan saling menguntungkan melalui penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu, selain meningkatkan perdagangan.

“Antara perkara utama yang ingin dilakukan oleh kerajaan baharu UK ialah memperluaskan jejak perdagangan kami di seluruh dunia. Dari perspektif Scotland Office, sebagai Setiausaha Negara untuk Scotland, salah satu objektif utama kami ialah Brand Scotland.

“Jadi, ke mana sahaja anda pergi di dunia ini, Scotland mempunyai kedudukan yang unik, terutamanya sejarah negara-negara seperti Malaysia, dan kami mahu menggunakan keunikan itu untuk memperluaskan hubungan, membangunkan hubungan yang mempunyai sejarah panjang, serta melihat peluang-peluang pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu Mushtak berkata pihak universiti berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Murray ke kampus Malaysia yang menyediakan mahasiswa dengan pengalaman pembelajaran antarabangsa bertaraf dunia.

“Di Heriot-Watt kami berbangga bukan sahaja kerana menyediakan pendidikan British berkualiti tinggi tetapi juga kerana melahirkan pemimpin berteraskan matlamat dan bersedia untuk membentuk masa depan.

“Lawatan oleh Setiausaha Negara Scotland menekankan peranan penting pendidikan dalam merapatkan budaya dan memperkasa generasi masa depan untuk memimpin dengan matlamat. Heriot-Watt University Malaysia adalah contoh cemerlang bagaimana kerjasama global dalam pendidikan dapat menyediakan pemimpin masa depan untuk menangani cabaran terbesar dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan