AM > BERITA

UTP, FPT Tandatangan MoU Pacu Pendidikan Teknologi, Transformasi Digital 

02/12/2024 11:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan syarikat teknologi global FPT memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk  memperkukuh pendidikan teknologi dan landskap transformasi digital Malaysia dengan penumpuan kepada penyelidikan serta pendidikan kecerdasan buatan (AI).  

UTP dalam satu kenyataan memaklumkan FPT telah menyumbang perisian bernilai US$2 juta kepada universiti itu sebagai sebahagian perkongsian sekali gus membolehkan UTP mendapat akses kepada penyelesaian Total Augmented Data Analytics (TADA ) FPT iaitu platform pengurusan data bersatu dipacu AI yang kini diterima pakai oleh 20 syarikat tenaga.

Dengan memanfaatkan rangkaian global dan kepakaran industri FPT, kerjasama strategik ini merangkumi pelbagai bidang termasuk perkongsian maklumat, latihan industri dan projek penyelidikan bersama yang sejajar dengan sektor penting di Malaysia seperti penjagaan kesihatan, tenaga, sistem autonomi dan kelestarian.

Kerjasama ini juga membolehkan FPT memenuhi peningkatan keperluan pelanggan serta mengukuhkan kedudukan di Malaysia Timur dan Brunei.

Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan FPT bagi memperkasakan keupayaan teknologi universiti dan menyediakan pelajar dengan alatan serta sumber terkini.

“Kerjasama ini memperlihatkan komitmen kami terhadap kurikulum terkini, dilengkapi dengan sumber perisian canggih dan memupuk budaya penyelidikan serta inovasi. 

“Dengan bekerjasama dengan peneraju industri seperti FPT, kami menyasarkan menyediakan pelajar menghadapi keperluan era digital dan meletakkan UTP sebagai perintis dalam mengintegrasikan perkongsian teknologi dunia sebenar ke dalam persekitaran akademik. Kami berjarap kerjasama jangka panjang ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TADA yang direka bagi mengumpul, memproses, menganalisis dan membayangkan data berskala besar sehingga 100 kali lebih pantas berbanding kaedah lama, membolehkan pelajar dan fakulti meningkatkan kemahiran analisis serta produktiviti sebanyak 50 peratus dengan lebih banyak pandangan untuk aplikasi dunia sebenar merentas pelbagai sektor.

"Digabungkan dengan latihan dan sokongan teknikal FPT, pelajar dan warga UTP akan dilengkapi sepenuhnya untuk memaksimumkan potensi platform itu bagi hasil pendidikan.

“Dengan membawa kepakaran AI dan alatan termaju serta mempromosikan pertukaran pelajar antara Universiti FPT (di Vietnam) dan UTP, kedua-dua institusi menyasarkan untuk memperkasakan generasi baharu bakat IT di kedua-dua negara dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan bagi memacu inovasi dan pertumbuhan,” menurut kenyataan berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan