AM > BERITA

Anwar Lawat Pameran Wacana Kejayaan

03/12/2024 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluangkan masa menghadiri Pameran Wacana Kejayaan Semasa Program Pemberian Baucar Buku MADANI yang berlangsung di Bangunan Parlimen, di sini.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau ruang pameran, selain diberikan taklimat maklumat terkini perkembangan dan impak positif yang dicapai program berkenaan.

Anwar turut dimaklumkan oleh wakil Perbadanan Kota Buku bahawa hampir kesemua negeri telah mencapai lebih 90 peratus penebusan baucar.

Sehingga Ahad lepas, program Baucar Buku MADANI mencatat pencapaian luar biasa iaitu sebanyak 3,279,601 baucar telah ditebus, dengan nilai keseluruhan RM262,602,150 yang mencerminkan impak positif terhadap pembelian buku dalam kalangan pelajar.

Selain itu, sebanyak 6,687,646 naskah buku berjaya dijual melalui 3,113,524 transaksi manakala portal e-dagang utama bagi inisiatif itu platform Bookcapital, menawarkan 737,400 judul buku yang tersedia dalam sistem dan melibatkan 1,050 penjual aktif.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang turut sama ketika lawatan itu berkata pihaknya berharap penebusan buku dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 28 hari lagi, dalam usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.

“Penebusan buku itu berlaku dengan jayanya di kawasan luar bandar. Kita mahu terus meningkatkan jumlah ini…Penebusan mereka dari awal adalah tinggi khususnya di Sabah dan Sarawak, jadi ini komitmen guru yang sangat luar biasa.

“Yang lain itu kita perlu perhatikan mekanismanya supaya dapat tebus kerana ini peluang yang sangat baik, jadi saya harap anak dan guru serta ibu bapa dapat memastikan penebusan ini berlaku,” katanya.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dengan proses penghantaran buku termasuk Pos Malaysia, yang berusaha mengakses sehingga ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata kejadian banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini tidak merencatkan usaha menyampaikan buku menerusi inisiatif itu, walaupun mengakui terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam melengkapkan penebusan baucar buku sehingga selesai sepenuhnya.

Baucar Buku MADANI diumumkan Perdana Menteri ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Mei.

Baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 diberikan kepada murid sekolah menengah, pelajar kolej vokasional, tingkatan enam, matrikulasi dan Insitut Pendidikan Guru (IPGM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan