KUANTAN, 3 Dis (Bernama) -- Kes jenayah komersial termasuk melibatkan penipuan dalam talian di Pahang mencatatkan penurunan dari segi jumlah kerugian iaitu sebanyak RM81 juta bermula Januari hingga Oktober tahun ini berbanding RM87.9 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata faktor penurunan sebanyak 7.8 peratus itu antara lain disebabkan mangsa penipuan segera melaporkan kejadian itu kepada Pusat Response Scam Kebangsaan ( NSRC) dan pihak polis.
"Justeru, saya menasihatkan mangsa yang terkena (scam) supaya segera melaporkannya kepada NSRC supaya akaun pihak terlibat dapat dibekukan.
"Jika mereka mengambil tindakan pantas dan bernasib baik, duit mereka dapat dipulangkan kembali," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Yahaya berkata meskipun jumlah kerugian menurun, bilangan kertas siasatan yang dibuka meningkat kepada 2,083 kertas siasatan berbanding 2,049 pada tahun lepas.
"Sebanyak 1,605 tangkapan dilakukan melibatkan kesalahan tipu, pinjaman wang Ah Long dan lain-lain kesalahan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sudah siap siaga untuk membantu mangsa banjir susulan hujan lebat dijangka pada bulan ini di Pahang.
"Saya telah mengarahkan setiap Ketua Polis Daerah, agar membuat rondaan dan jika berlaku banjir, mangsa dapat segera diselamatkan serta ditempatkan di 858 pusat pemindahan sementara (PPS) yang ada di seluruh negeri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial