AM > BERITA

Jambatan Tenggelam : Ibu Bapa, Murid Sekolah Terpaksa Guna Landasan Kereta Api

04/12/2024 03:02 PM

GUA MUSANG, 4 Dis (Bernama) -- Penduduk Kampung Batu 5 dan Kampung Batu 6 di sini terpaksa membawa anak-anak mereka menggunakan landasan kereta api untuk ke sekolah selepas jambatan yang merupakan satu-satunya jalan perhubungan mereka ditenggelami air akibat peningkatan paras Sungai Galas. 

Suzili Sulaiman, 49, berkata jambatan besi terbabit tenggelam susulan hujan lebat sejak petang semalam yang berlarutan hingga awal pagi tadi. 

Beliau berkata ibu bapa bersama anak-anak mereka terpaksa mengambil risiko melalui landasan kereta api untuk merentasi sungai berkenaan.

“Saya bersama beberapa penduduk yang lain terpaksa membawa anak-anak melalui rel kereta api untuk mendapatkan kereta yang diparkir di seberang sungai bagi menghantar mereka ke sekolah. 

"Kami tiada pilihan melainkan mengikut laluan ini untuk mengelakkan anak-anak tercicir pelajaran di sekolah dan salah seorang daripada anak saya juga akan menduduki (peperiksaan) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Sementara itu, penduduk Kampung Batu 6, Kua Eh Say, 60, berkata kejadian pagi ini merupakan kali kedua jambatan terbabit tenggelam dalam tempoh seminggu.

“Penduduk terpaksa menggunakan laluan kereta api meskipun ia amat berisiko sebagai inisiatif untuk keluar dari kampung bagi menjalankan urusan seharian. 

“Laluan ini sempit jadi hanya dapat dilalui oleh motosikal dan pejalan kaki,” katanya sambil menambah kejadian itu telah menjejaskan lebih 200 penduduk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan