AM > BERITA

HARGA BERAS IMPORT DARI INDIA BERJAYA DITURUNKAN HASIL RUNDINGAN BERSAMA - PM ANWAR

07/12/2024 02:04 PM

BUTTERWORTH, 7 Dis (Bernama) -- Harga beras import dari India berjaya diturunkan sedikit hasil rundingan bersama kerajaan India, semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara berkenaan pada Ogos lepas. 

Anwar berkata kerajaan Persekutuan komited dalam meringankan beban rakyat khususnya dalam memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang rendah.

"Mereka (India) bersetuju menjual beras dengan harga lebih murah. Kita berharap langkah ini dapat meringankan beban masyarakat," kata beliau dalam ucapan semasa Majlis Peluncuran Jualan Termurah MADANI di Kampung Masjid Timah di sini hari ini. 

Anwar berkata penganjuran program jualan murah mampu menjadi persaingan yang sihat sekali gus memberi tekanan kepada harga pasaran supaya dapat diturunkan.

Perdana Menteri berkata Jualan Termurah MADANI yang berlangsung sehari itu menawarkan 1,000 ekor ayam dan 200 kampit beras secara percuma kepada pengunjung.

Selain itu, beliau berkata pengunjung juga boleh membeli ikan segar yang harganya dijamin lebih murah daripada pasaran kerana ia diambil terus daripada kapal nelayan.

"Ikan segar boleh didapati dengan harga murah jika diperoleh secara langsung daripada nelayan tanpa orang tengah, sebab itu kita galakkan para nelayan untuk menggunakan aplikasi berkaitan supaya orang ramai boleh beli secara langsung daripada mereka sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran," kata beliau.

Anwar turut meluangkan masa kira-kira 30 minit pada program itu sambil menyantuni peniaga dan pengunjung yang hadir.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan