AM > BERITA

AGENSI TAWAR PAKEJ ‘TRIP NIKAH DI THAILAND’ BOLEH DIAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG - MOHD NA’IM

09/12/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Agensi yang menawarkan pakej "Trip Nikah di Thailand" boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata ini kerana ia bertentangan dengan peraturan dan peruntukan undang-undang negara ini. 

“Dalam perkahwinan itu, katakanlah mereka kahwin di Thailand, cukup syarat nikah dia, rukun dia, wali ada dan saksi pun ada, perkahwinan itu sah daripada sudut hukum.

“Tetapi ia bertentangan dengan peraturan dan undang-undang negara kita. Sebab itu, kita nak lahirkan umat Islam yang bukan sahaja patuh kepada hukum, pada masa sama rakyat yang mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tawaran ‘Trip Nikah di Thailand’ yang menawarkan khidmat nikah dulu bayar kemudian yang tular di TikTok baru-baru ini.

Di dalam hantaran video itu, pasangan dari Malaysia yang berminat mengambil pakej berkahwin di Thailand itu hanya perlu membayar caj serendah RM1,699 sahaja.

Mohd Na’im turut menggesa agar orang ramai tidak terpengaruh dengan promosi atau pakej pernikahan yang disediakan oleh agensi pelancongan yang didakwa telah berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 

“Sebab peraturan sebenarnya untuk melindungi, membina hak semua pihak secara adil. Jadi saya syorkan kepada masyarakat luar hati-hati dengan media sosial promosi itu… bimbang lagi teruk kena scam.

“Disebabkan nak cepat nikah, tahu-tahu kena scam. Orang sekarang nak cepat buat duit, akhirnya nikah entah ke mana, duit pun hilang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im memaklumkan kos haji akan diumumkan setelah beliau bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.

“Bila kos haji itu saya umumkan, kita akan mula agihkan surat-surat kepada mereka yang layak untuk pergi haji, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Agama itu merasmikan majlis penyampaian Biasiswa Al-Falah MADANI di bawah produk ‘myWaqafPTPTN’, anjuran YWM bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan