AM > BERITA

HAJAT SEMPENA KRISMAS, BAPA HARAP ANAK SEMBUH PENYAKIT TALASEMIA

10/12/2024 04:23 PM

ISKANDAR PUTERI, 10 Dis (Bernama) -- Tiada apa yang diharapkan oleh seorang bapa ini selain untuk melihat dua cahaya matanya yang menghidap 'major' talasemia kembali sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Samsen Thomas, 37, berkata anak lelaki sulungnya Shiezell, 12, dan anak perempuan Jolie Avril Alvira, 10, menghidap penyakit itu sejak berusia kira-kira setahun.

Dia berkata Jolie telah menjalani rawatan pemindahan tulang sum-sum pada awal tahun ini menerusi seorang penderma iaitu anak bongsunya, Seanbester, 8, yang hanya menghidap 'minor' talasemia.

"Shiezell pula hingga kini belum dapat penderma sel stem yang sepadan dalam keluarga dan mungkin terpaksa bergantung dengan pemindahan darah berterusan atau hingga penderma yang sesuai ditemui.

"...dengan sambutan Krismas yang akan tiba tidak lama lagi, hajat dan keinginan saya serta isteri hanyalah untuk melihat anak kami sihat dan dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain,'' katanya ketika ditemui pemberita di Legoland Hotel di sini semalam.

Samsen berkata disebabkan penyakit yang dihidapi, Shiezell dan Jolie perlu menjalani rawatan susulan di hospital kerajaan di Johor Bahru hampir setiap bulan.

''Jolie baru-baru ini juga menjalani kemoterapi dan perlu dipantau selama setahun. Saya sangat berharap keadaan kesihatannya semakin baik dan boleh pergi ke sekolah seperti biasa,'' katanya yang berkerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat tempatan.

Dia yang berasal dari Sabah namun telah bermaustautin di Johor sejak 17 tahun lepas berkata mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung halaman di Keningau untuk menyambut Krismas tahun ini berikutan faktor kesihatan anaknya itu selain tiket penerbangan yang mahal.

Samsen berkata kali terakhir dia bersama isteri Julitah Korom, 35, dan anak-anak mereka pulang ke Sabah ialah pada 2019.

''Walaupun tidak balik kampung, sambutan Krismas kami tetap meriah kerana tiga adik beradik saya juga menetap di Johor, jadi kebiasaannya kami akan sambut bersama-sama,'' katanya yang menjelaskan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM4,000 sekiranya mahu pulang menyambut Krismas di Sabah.

Sementara itu, Shiezell yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Skudai Batu 10 ketika ditemui berkata dia bercita-cita menjadi polis suatu hari nanti dan mahu membahagiakan kedua ibu-bapanya tercinta.

''Belajar di sekolah seronok lagi-lagi apabila belajar subjek Bahasa Melayu dan Inggeris. Ini subjek kesukaan saya. Sudah besar nanti, saya mahu jadi polis, adik (Seanbester) pun sama juga (mahu jadi polis),'' katanya.

Terdahulu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi Petronas Southern Region merealisasikan hasrat Shiezell untuk membawa keluarganya ke Legoland Malaysia Resort sempena sambutan Krismas.

Melalui program 'Petronas 50 Dreams Uplifting Lives' itu, keluarga tersebut turut berpeluang menginap di Hotel Legoland, pas masuk ke taman tema, lawatan di Sea Life serta menikmati jamuan makan malam Krismas.

Petronas turut mengubah suai bilik dan ruang tamu rumah atas kedai yang disewa keluarga itu di Skudai selain menyumbang peralatan elektrik dan dapur, perabot, meja belajar, baju, peralatan sekolah, komputer riba serta bekalan barang runcit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan