AM > BERITA

MANGSA GANGGUAN SEKSUAL PERLU BERANI TAMPIL BUAT LAPORAN - NANCY SHUKRI

12/12/2024 05:49 PM

KOTA SAMARAHAN, 12 Dis (Bernama) -- Mangsa gangguan seksual perlu berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kejadian yang dialami atau mendapatkan khidmat kaunseling yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kaunselor, dapat membantu dengan memberikan nasihat dan panduan untuk menangani permasalahan yang dihadapi, selain menggalakkan mangsa membuat laporan polis.

"Selain wanita, golongan lelaki turut menjadi mangsa, tapi tidak ramai yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kejadian kerana perasaan malu.

"Masalah gangguan seksual ini boleh mengganggu fikiran, melalui kaunselor mangsa akan tahu apa yang boleh mereka lakukan mengikut prosedur. Pilihan terpulang kepada mangsa, kaunselor menghormati keputusan mereka sama ada mahu mengambil tindakan atau sebaliknya," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas program Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita @ Advokasi Antigangguan Seksual KPWKM di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini hari ini, beliau berkata kebanyakan mangsa lelaki yang mengalami gangguan seksual terdiri daripada mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.


Semasa sesi dialog pada program itu, Nancy menjelaskan bahawa antara langkah proaktif KPWKM untuk menangani masalah gangguan seksual adalah dengan mewujudkan Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS).

"Sehingga 5 Dis tahun ini sebanyak 21 aduan gangguan seksual telah difailkan di TAGS, dengan 19 pengadu adalah wanita, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki.

"Statistik Polis Diraja Malaysia turut menunjukkan peningkatan dan setakat Oktober tahun ini sebanyak 666 kes dilaporkan berbanding 522 kes pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 9.4 peratus. Manakala, 12 kes dicatatkan di Sarawak tahun ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan