AM > BERITA

DEWAN RAKYAT BAHAS LAPORAN RCI BATU PUTEH

12/12/2024 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini membahaskan usul mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang antaranya mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengemukakan usul berkenaan berkata ia adalah komitmen diberikan kerajaan sebagai platform kepada semua Ahli Parlimen untuk membahaskan isu berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

"Laporan suruhanjaya ini merupakan satu manifestasi keprihatinan kerajaan MADANI terhadap kepentingan pengurusan isu kedaulatan negara secara cekap, teratur dan berintegriti.

"...perbahasan ini membolehkan kerajaan mengambil langkah terbaik untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan secara syor-syor dicadangkan secara holistik dan berkesan," katanya  menambah hal ini kerana ia melibatkan kepentingan kerajaan Persekutuan dan negeri khususnya Johor.

Azalina berkata antara isu dikenal pasti sebagai faktor utama penyebab Malaysia kehilangan Batu Puteh secara muktamad adalah kepincangan dalam pengendalian kes berkenaan serta pelaksanaan keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan permohonan tafsiran tanpa penelitian menyeluruh anggota pentadbiran.

"Hasil kajian dan siasatan RCI ini menerangkan penemuan terhadap perkara yang telah berlaku sepanjang pengendalian isu ini. Kajian dan siasatan ini memfokus kepada tindakan diambil oleh pihak tertentu dalam kalangan anggota pentadbiran, penjawat awam serta pakar perunding tempatan dan antarabangsa yang terlibat," katanya. 

Sepuluh Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian untuk sesi perbahasan usul laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menerusi laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 5 Dis lepas, syor dikemukakan bahawa siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan 418 kanun sama.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan