POLIS MIRI BURU LELAKI ROMPAK PASAR MINI BERSENJATA PARANG

12/12/2024 09:05 PM

MIRI, 12 Dis (Bernama) -- Polis Miri sedang giat memburu seorang lelaki yang melakukan samun bersenjata di sebuah pasar mini berhampiran Ngu’s Garden Food Park, Batu Niah pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata satu laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat pada hari yang sama.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata dalam kejadian itu seorang juruwang wanita yang sedang menjaga kaunter telah didatangi suspek yang bersenjatakan parang.

Suspek kemudian melarikan diri selepas merompak RM1,000 daripada mangsa.

"Suspek telah dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 31 tahun dan polis kini sedang mengesannya," katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Kejadian tersebut telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) pasar mini tersebut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi polis Miri di talian 085-433730.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan