KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat petang ini manakala situasi bencana itu di Terengganu dan Pahang kian pulih apabila bilangan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu semakin berkurang.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 225 orang daripada 67 keluarga melibatkan penduduk Perak Tengah dan Manjung berbanding 34 orang pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 191 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas manakala 34 mangsa daripada 11 keluarga di PPS SK Teluk Kepayang.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan pula memaklumkan paras air Sungai Rui di Hulu Perak berada pada paras bahaya iaitu setinggi 165.69 meter (m) berbanding paras normal 165.10m manakala Sungai Perak di daerah Perak Tengah dan Bagan Datuk pada paras berjaga-jaga dengan masing-masing merekodkan 6.48m (5.5m normal) serta 1.85m (-1.0m).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan berterusan dijangka berlaku di sekitar kawasan Hulu Perak hingga esok.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 139 orang daripada 38 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di dua daerah terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan berkata di Segamat, PPS Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 40 orang daripada 12 keluarga dan 45 orang daripada 14 keluarga berada di Dewan Komuniti Kampung Tasek manakala 54 orang daripada 12 keluarga berlindung di PPS SK Simpang Lima Darat di Tangkak.
Beliau berkata tiga sungai di Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu stesen Sungai Muar di Kampung Awat dengan bacaan 19.60m, Sungai Muar di Buloh Kasap (8.61m) dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam (3.53m).
Bagaimanapun, Azmi berkata keadaan cuaca di lapan daerah di Johor dijangka cerah manakala Tangkak mendung dan Kota Tinggi pula diramalkan hujan petang ini.
Di TERENGGANU, banjir gelombang kedua hampir pulih sepenuhnya apabila jumlah mangsa berkurang kepada 230 orang melibatkan 58 keluarga di empat PPS setakat 4 petang berbanding 3,951 orang pada 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan semua mangsa di daerah Dungun telah dibenarkan pulang pada 2 petang tadi manakala 230 orang daripada 58 keluarga di Kemaman masih berlindung di PPS SK Kampung Baru Kerteh, Balai JPKK Beris Nenas, Balai Raya Meraga Beris dan Balai Raya Padang Kemunting.
Banjir di PAHANG juga semakin pulih selepas dua PPS di Jerantut yang menempatkan 40 orang pagi tadi ditutup pada 2 petang namun satu PPS dibuka di Temerloh bagi menempatkan seorang mangsa banjir.
Semakan di publicinfobanjir.water.gov.my pula mendapati Sungai Pahang di Stesen Waterfront, Bera masih melepasi paras bahaya iaitu 0.19 meter dengan trend menurun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial