AM > BERITA

KAWASAN SAR KANAK-KANAK LAPAN TAHUN DIKHUATIRI LEMAS DIPERLUASKAN - POLIS

15/12/2024 03:35 PM

KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Kawasan misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Kandis, Bachok diperluas sehingga enam kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata operasi yang memasuki hari kedua itu diteruskan dengan pencarian di permukaan dan pesisir pantai.

"Pasukan kita juga menggunakan bot lebih besar daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menghala ke Tok Bali, Pasir Puteh dan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

"Buat masa sekarang bot kecil tidak dapat digunakan kerana ombak yang besar dan membahayakan pasukan SAR," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohamad Ismail menasihati orang awam supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di pantai ketika musim tengkujuh kerana ia boleh membahayakan nyawa.

Dalam kejadian 6.50 petang semalam, Muhammad Naufal Arsyad Muhammad Aiman Hafiz, 8, dari Kampung Cabang Tiga Pohon Nenasi, Beris Lalang, Bachok dikhuatiri lemas selepas tejatuh ketika bersiar-siar di Pantai Kandis bersama ahli keluarganya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan