AM > BERITA

MELAKA SUMBANG RM30,000 KEPADA TIGA IPD SANTUNI PESARA POLIS, KELUARGA ANGGOTA

15/12/2024 05:47 PM

ALOR GAJAH, 15 Dis (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyumbang RM30,000 kepada tiga ibu pejabat polis daerah di negeri ini bagi membantu pesara polis dan anggota keluarga mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin itu masing-masing akan menerima RM10,000.

"Sumbangan boleh digunakan untuk menyantuni pesara-pesara polis yang memerlukan bantuan dan anak-anak mereka," katanya kepada pemberita pada Jamuan Rakyat sempena Program Kerajaan Negeri Melaka bersama Polis Diraja Malaysia di Masjid Tanah hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi.

Sementara itu, balu kepada Allahyarham Sjn Mej (B) Ibrahim Jaafar, Siti Hafidah Bachem 58, berkata dia tidak menyangka akan menerima kunjungan Razarudin dan Ab Rauf hari ini.

Siti Hafidah berkata Ibrahim pernah menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Razarudin, namun Allahyarham meninggal dunia pada 4 Dis lepas.

"Allahyarham ada suarakan hasrat untuk berjumpa Ketua Polis Negara secara peribadi selepas dapat tahu Tan Sri (Razarudin) akan mengadakan kunjungan ziarah kasih di Masjid Tanah.

"Hasratnya tak kesampaian selepas menderita tiga minggu akibat kanser limfoma dan meninggal dunia awal bulan ini. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan Tan Sri (Razarudin) yang sudi jengah keluarga saya walaupun suami telah meninggal dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan