AM > BERITA

MALAYSIA-THAILAND SETUJU PASTIKAN PROJEK DIRANCANG DI SEMPADAN SIAP TEPAT PADA MASANYA - ANWAR

16/12/2024 04:57 PM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan sokongan utuh Malaysia terhadap dialog dan pembangunan, bagi menjamin keamanan di selatan Thailand.

Beliau berkata Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memastikan semua projek yang dirancang disiapkan tepat pada masanya, termasuk projek jajaran jalan yang menghubungkan kemudahan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand, serta pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dan Sungai Golok di Narathiwat.

"Komitmen untuk membangunkan sempadan cukup memberangsangkan, dari segi hubungan dua hala Malaysia-Thailand, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sudah tentu ada kemajuan besar dari segi jajaran jalan, ICQS Bukit Kayu Itam dan CIQ Sadao, pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok di Thailand.

"Pastinya ini akan meningkatkan kerjasama dua negara, malah menyelesaikan banyak isu (seperti) pengurusan air dan dari segi tebatan banjir, Sungai Kelantan, Sungai Golok, serta kawasan di selatan Thailand dan utara Malaysia, khususnya di Kelantan dan Terengganu," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di sini hari ini.

Sementara itu Paetongtarn berkata perbincangan Thailand dan Malaysia berkisar kepada usaha penting dalam menangani masalah banjir yang dihadapi oleh kedua-dua negara.

"Kami (Thailand-Malaysia) akan terus bekerjasama rapat ke arah ketersambungan jalan sempadan yang lebih baik dan perhubungan rel, di samping memudahkan lebih banyak perdagangan sempadan serta interaksi antara rakyat," katanya.

Beliau berkata tujuan utama lawatan beliau ke Malaysia adalah untuk mengesahkan kepentingan persahabatan dan kerjasama Thailand-Malaysia dalam pelbagai isu yang bertujuan untuk meluaskan dan meningkatkan lagi kerjasama.

"Saya komited untuk mengekalkan dinamik hubungan dan usaha kita ke arah keamanan dan kemakmuran bersama. Thailand (juga) menyokong Malaysia untuk Pengerusi ASEAN 2025," katanya.

Paetongtarn berkata mengenai kerjasama ekonomi, tumpuan akan diberikan kepada perdagangan dan pelaburan untuk perhubungan sempadan, ekonomi digital dan pelancongan, manakala bidang berpotensi untuk kerjasama adalah dalam industri getah dan halal.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan