AM > BERITA

USM ANJUR MALAM GEMILANG ALUMNI-INDUSTRI 2024, IKTIRAF SUMBANGAN DALAM MEMPERKASA UNIVERSITI

16/12/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kali menganjurkan Malam Gemilang Alumni dan Industri 2024 yang menghimpunkan alumni dan pemain industri bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada pembangunan universiti berusia 55 tahun itu.

Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata hingga kini universiti berkenaan telah melahirkan kira-kira 200,000 alumni sejak ditubuhkan pada 1969.

“Ramai yang telah berjaya dan mengangkat moto universiti iaitu 'Kami Memimpin'. Alumni USM kini kembali menyumbang kepada komuniti, baik berkhidmat untuk alma mater atau mencurah keringat di pelbagai sektor dan lapangan.

“USM tidak ketinggalan dalam melahirkan alumni hebat dan menyahut cabaran menjadi pencipta pekerjaan. Mereka ini telah membuka banyak peluang kerjaya kepada masyarakat khasnya dalam bidang industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam, dihadiri 400 jemputan dalam kalangan alumni USM dan rakan industri, dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam.

Abdul Rahman berkata Mohd Ali turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan USM kerana beliau seorang daripada alumni yang menzahirkan moto ‘Kami Memimpin’ kepada pencapaian yang luar biasa.

“Anugerah ini sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan universiti terhadap sumbangan besar Tuan Yang Terutama Tun dalam bidang ekonomi dan mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

USM turut menyampaikan Anugerah Ikon Alumni kepada mereka yang memberikan impak signifikan kepada profesionalisme, komuniti dan universiti itu antaranya kategori Anugerah Alumni Perdana yang diberikan kepada Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Ishak Mohamed.

Beliau adalah alumni dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada 1985 dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM manakala Anugerah Alumni Muda Harapan dianugerahkan kepada pengacara TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) Khairul Hafez Yunus @Hamid, lulusan USM dalam bidang Sains Politik pada 2018.

Malam Gemilang Alumni dan Industri 2024 adalah anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dan Persatuan Alumni USM.

Majlis itu dilaksanakan antaranya untuk memastikan alumni USM dapat menyumbang semula kepada alma mater, meningkatkan jaringan USM bersama alumni dan industri serta memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada alumni dan rakan strategik, khususnya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan universiti tersebut.

Penganjuran majlis itu turut dizahirkan dengan kejayaan USM dalam mendapat pengiktirafan industri sebagai Universiti Pilihan Graduan dalam majlis "Graduates’ Choice Award" yang dikendalikan oleh Talentbank baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan