GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, memilih Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang sebagai kampus rintis bagi pelaksanaan Kempen PAAB Lestari 2024 (Edu-Sustainability).
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar berkata kempen tersebut turut mendapat kerjasama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) dan badan bukan kerajaan (NGO), Water Watch Penang (WWP).
Beliau berkata kempen tersebut adalah strategi jangka masa panjang bagi memperkasakan dan memperkukuhkan usaha memelihara alam sekitar di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
"Untuk merealisasikan pelaksanaan kempen ini sebanyak RM50,000 telah disalurkan kepada USM untuk menaik taraf kemudahan bekalan air dan infrastruktur kampus di Desa Siswa Indah Kembara L-12 yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
“Pelbagai inisiatif kelestarian bakal diterapkan untuk menyampaikan maklumat penjimatan air dan amalan hijau kepada pelajar bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai isu kelestarian alam sekitar,” katanya selepas melancarkan Kempen PAAB Lestari 2024 di USM Kampus Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PAAB Datuk Seri Jaseni Maidinsa, Timbalan Naib Canselor (Rangkaian Industri dan Komuniti) USM Prof Dr. Azlan Amran, Presiden WWP Prof Emiritus Datuk Dr. Chan Ngai Weng dan Ketua Pegawai Operasi PBAPP Rosyidi Lat.
Zulkiflee berkata kempen itu turut melibatkan penukaran pili air dan tangki tandas di kolej kediaman USM kepada produk cekap air, yang dijangka dapat mengurangkan penggunaan dan menjimatkan bil air hingga 50 peratus daripada jumlah bil semasa.
“Ini selari dengan saranan kerajaan dalam pelan kelestarian alam sekitar di Malaysia 2020-2030 yang menyasarkan penggunaan 160 liter air sehari untuk setiap individu menjelang 2030,” katanya.
Sejak 2019, PAAB telah memperuntukkan RM1.15 juta untuk pelaksanaan Program CSR PAAB berkenaan, yang merangkumi empat inisiatif utama iaitu Program PAAB School Sustainability di 13 sekolah di Kelantan, Johor, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Selain itu, Program Masjid Hijau PAAB di sembilan masjid dan surau, Program Pembersihan Pantai dan Penanaman Pokok Bakau, A Wave of Change di empat lokasi, serta terbaru Kempen PAAB Lestari 2024 (Edu-Sustainability) dengan kampus rintis di USM Pulau Pinang.
Zulkiflee berkata USM kampus Pulau Pinang dipilih berikutan kampus tersebut mencatatkan penggunaan air bersih antara yang tertinggi di negeri ini setanding dengan industri dan hotel.
Sehubungan itu, beliau berharap kempen itu akan memberikan impak kepada pelajar, sebagai generasi masa hadapan negara dalam memupuk kesedaran mengenai penjimatan air dan kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Jaseni berkata pihaknya menyasarkan untuk memperluaskan kempen berkenaan ke USM Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal dan USM Kampus Kubang Kerian, di Kelantan.
Beliau turut melihat potensi kempen itu untuk diperluaskan ke universiti lain seperti Universiti Utara Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial