KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan memanfaatkan laporan Impact Study of Artificial Intelligence, Digital and Green Economy on the Malaysian Workforce sebagai panduan untuk merangka strategi lebih berkesan dalam aspek latihan, kerjaya, dan pelaburan.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata laporan tersebut penting kerana kerajaan menyedari kesukaran siswazah masa kini mendapatkan pekerjaan, terutama dengan impak teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Laporan ini bukan sahaja menjadi panduan kepada pembuat dasar kerajaan, malah kepada syarikat swasta, pekerja, dan masyarakat dalam memahami kesan trend ekonomi abad ke-21 terhadap pasaran kerja negara.
“Adakah pekerjaan atau peranan tertentu pada masa kini akan terjejas dalam tiga hingga lima tahun akan datang? Justeru, laporan ini akan memberikan input untuk kita merangka strategi latihan, kerjaya, dan pelaburan yang lebih baik,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai langkah kerajaan dalam mengatasi isu tenaga kerja yang bekerja di luar bidang kemahiran mereka.
Menjawab soalan tambahan mengenai kewajipan majikan membayar elaun kepada pelajar latihan industri (internship), Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata kementerian telah menyediakan tiga insentif untuk menggalakkan majikan menawarkan peluang latihan industri berbayar dan berstruktur kepada anak muda.
“Pertama, kerajaan memberikan insentif double tax break atau potongan cukai berganda, yang menjadi dorongan khususnya kepada syarikat-syarikat besar.
“Kedua, untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin tidak mampu menunggu potongan cukai berganda, kerajaan menyediakan geran padanan sebanyak RM30 juta. Sebagai contoh, jika sebuah syarikat membayar RM600 sebulan kepada pelajar internship, kerajaan melalui geran padanan ini akan menambah RM300 sebagai subsidi atau insentif,” katanya.
Bagi insentif ketiga, Steven berkata kerajaan membenarkan syarikat-syarikat menggunakan levi HRD Corp untuk membayar elaun kepada pelajar latihan industri.
“Inisiatif ini penting kerana latihan industri dilihat sebagai satu bentuk latihan yang cekap dan efektif, membolehkan pelajar mendapat pengalaman on-the-job training,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial