AM > BERITA

KERJA PEMBAIKAN KAWASAN LUBANG BENAM DEPAN WISMA MELAYU SIAP HUJUNG DISEMBER

17/12/2024 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan di kawasan ground zero insiden lubang benam di depan Wisma Melayu di sini, dijangka selesai pada hujung bulan ini.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata aktiviti biasa di kawasan itu dijangka dapat dilaksanakan kembali pada awal tahun depan.

"Kerja-kerja baik pulih tapak lubang benam kedua, iaitu berhadapan bit Polis Jalan Masjid India telah siap sepenuhnya dan jalan serta lorong berhampiran telah dibuka kepada orang awam pada 10 Nov lepas," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mengenai laporan terkini isu lubang benam yang berlaku di Kuala Lumpur dan sama ada kerajaan telah mengenal pasti kawasan berpotensi berbahaya dan berkemungkinan kejadian sama berulang.

Dr Zaliha berkata kerajaan telah bersetuju memperuntukkan RM10 juta bagi membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kerja-kerja kajian geoteknikal struktur lapisan tanah di jalan utama di sekitar Kuala Lumpur menerusi Belanjawan 2025.

Beliau berkata DBKL juga sedang membuat kompilasi ulasan-ulasan daripada pelbagai agensi untuk dimasukkan bersama dalam laporan serta analisis data siasatan tanah yang telah dijalankan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan