AM > BERITA

53 PELAJAR UiTM MACHANG TERJEJAS AKIBAT TANAH RUNTUH DI TAMAN DESA MAS

17/12/2024 03:45 PM

MACHANG, 17 Dis (Bernama) -- Sebanyak 53 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang masih ditempatkan di kolej transit sementara susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan kediaman mereka di Taman Desa Mas penghujung November lepas.

Pelajar semester tiga Diploma Pengurusan Maklumat Noralia Natasya Mohd Aziz Helmi, 19, berkata ketika kejadian lebih kurang 7 petang 29 Nov itu, dia berada di ruang tamu sebelum terdengar bunyi dentuman amat kuat berdekatan dengan penempatan mereka.

"Selepas dengar bunyi yang kuat itu, saya terus bergegas keluar bersama rakan serumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila berlaku tanah runtuh di kawasan perumahan kami.

"Seorang daripada rakan saya terus menghubungi pihak universiti dan memaklumkan kejadian yang menimpa kerana sangat bimbang akan keselamatan kami ketika itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Nur Farah Husna Hizuan, 19, pula berkata dia dan rakan-rakanya telah keluar dari rumah tersebut selepas pihak universiti mengarahkan kesemua pelajar yang berada di penempatan itu untuk berpindah segera dan berlindung di dalam kampus.

"Sewa bulanan rumah kami sebanyak RM800 dan selepas kejadian itu saya telah maklumkan kepada penyewa bahawa kami tidak boleh tinggal di kawasan tersebut sehingga keadaan kembali normal," katanya.

Nur Natasha Jamalulail, 19, pula berkata dia amat bersyukur kerana pihak pengurusan universiti mengambil tindakan pantas dalam melindungi pelajar-pelajar walaupun menetap di luar kampus.

Sementara itu, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Kelantan Meer Zhar Farouk Amir Razli berkata pada 3 Dis lepas, Majlis Daerah Machang telah mengeluarkan notis mengosongkan premis kediaman di Taman Desa Mas serta perlu segera berpindah memandangkan terdapat runtuhan tanah di kawasan terbabit dan tempoh kerja-kerja penyelengaraan sisa tanah itu dianggarkan selama 21 hari, namun bergantung kepada faktor cuaca.

"Justeru, kita akan pastikan semua pelajar yang terlibat berada di dalam kampus sehingga pihak berkuasa tempatan membenarkan mereka kembali pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pengurusan tertinggi UiTM melihat semula polisi yang dibuat melibatkan penempatan pelajar di luar kampus terutama di kawasan berisiko banjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan