GEORGE TOWN, 17 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengambil inisiatif untuk memulakan satu perikatan yang signifikan bersama India Malaysia Port Alliance (IMPA) bagi memperluas hubungan strategik dalam sektor maritim secara global.
Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soo Hin berkata suruhanjaya itu sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Badan Kawal Selia Pelabuhan Pulau Pinang, serta Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang mewakili Malaysia telah mengambil inisiatif itu dalam memperkukuh hubungan maritim global melalui penyertaan dalam pelbagai persatuan pelabuhan di seluruh dunia.
"Perikatan ini telah termeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Indian Port Association (IPA) yang ditandatangani di New Delhi, India semalam.
"MoU itu dimeterai bertujuan mengukuhkan kerjasama dua hala bagi kedua-dua negara dalam meneroka bidang-bidang yang berpotensi tinggi dan berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan infrastruktur pelabuhan, reformasi dasar perkapalan dan juga pengurusan maritim yang mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata delegasi Malaysia ke India diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk M. Jana Santhiran telah disambut oleh delegasi tuan rumah yang diketuai Setiausaha Kementerian Pelabuhan, Perkapalan dan Laluan Air India Shri T. K. Ramachandran.
Yeoh berkata melalui kerjasama itu, Malaysia terus menjalinkan hubungan antarabangsa yang lebih kukuh, mempertingkatkan prestasi operasi pelabuhan dan menyumbang kepada kemajuan perdagangan global serta pembangunan maritim.
Katanya, perikatan itu memberi tumpuan kepada pengoptimuman infrastruktur pelabuhan, perkongsian amalan terbaik dan penerapan teknologi inovatif untuk memudahkan perdagangan yang lancar serta mempromosikan pertumbuhan mampan dalam sektor maritim.
"Namun begitu, ia tidak terhad kepada manfaat yang disebutkan sahaja, malah skop perikatan itu akan berkembang mengikut keperluan semasa bagi memastikan ia kekal relevan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata MoU itu juga bertujuan mempromosikan perdagangan antara Malaysia dengan India, mengembangkan industri kruis, menyediakan latihan, dan memudahkan perkongsian pengetahuan berkaitan teknologi maritim.
Yeoh berkata dengan menguatkan hubungan perdagangan dan menggalakkan perkongsian pengetahuan, Malaysia berusaha untuk mempertingkatkan kedudukannya di pasaran global dan memperbaik keupayaan industri.
"Selain itu, pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaku operator yang dilantik untuk mengendalikan operasi Pelabuhan Pulau Pinang telah mengambil peluang untuk menandatangani surat pelantikan bersama Maritime Marvel Cruise Pte. Ltd. dari Singapura dan Thirdeye Maritime Services Pvt. Ltd. dari India semalam, sebagai langkah proaktif bagi mempromosikan industri kapal pelancongan di Malaysia.
"Sebagai Pengerusi SPPP, saya berpandangan bahawa inisiatif yang diambil oleh SPPP, LPK dan PPSB ini amat signifikan serta bermanfaat kepada pembangunan sektor maritim di Malaysia memandangkan kerjasama telah diperluas ke sebuah negara yang mempunyai kepakaran tersendiri dalam bidang maritim," katanya.
Yeoh berkata SPPP berharap perikatan itu mampu meningkatkan lagi daya saing industri maritim negara dan memberikan manfaat yang signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.
"Semoga kerjasama yang terjalin ini dapat memperkukuh hubungan antara semua pihak dan memastikan kemajuan yang berterusan dalam sektor maritim, seterusnya meletakkan Malaysia di kedudukan yang lebih kukuh pada peringkat global," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial