KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Bakal jemaah musim haji 1446H/2025M tidak perlu lagi hadir ke pejabat cawangan Tabung Haji (TH) terdekat bagi mendapatkan Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH).
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan hari ini berkata BRRJH kini disediakan dalam bentuk digital bagi memudahkan urusan pemeriksaan kesihatan, menjimatkan masa dan tenaga selain memastikan rekod kesihatan mudah diakses semasa di Tanah Suci Makkah.
Beliau berkata pada tahun lepas, bakal jemaah yang menerima surat tawaran melalui aplikasi THiJARI dikehendaki hadir ke pejabat cawangan terdekat bagi mendapatkan BRRJH secara fizikal.
Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi 1446H/2025M mula dikeluarkan secara berperingkat mulai semalam.
Beliau berkata bakal jemaah boleh membuat semakan menerusi aplikasi THiJARI dan memuat turun surat tawaran melalui laman web www.thijari.com.my.
"Seterusnya, mereka boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di fasiliti kesihatan yang mempunyai pegawai perubatan berdaftar dengan TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikehendaki untuk membawa bersama kad pengenalan dan Surat Tawaran Tunai Haji (softcopy/hardcopy)," katanya.
Syed Hamadah berkata bakal jemaah akan menerima notifikasi mengenai status kesihatan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel dan di aplikasi THiJARI setelah selesai pemeriksaan kesihatan, dan seterusnya boleh melengkapkan proses terima tawaran haji melalui laman web THiJARI.
Beliau berkata proses pengisian maklumat oleh bakal jemaah dan pegawai perubatan semuanya dilakukan dalam sistem yang diintegrasikan bersama sistem KKM untuk mendapatkan butiran penuh tahap kesihatan bakal jemaah serta status vaksinasi.
"Kini, bakal haji tidak perlu lagi untuk membawa BRRJH secara fizikal ke Tanah Suci kerana semua maklumat dan status kesihatan terkumpul di dalam satu sistem sekali gus mengurangkan risiko kehilangan buku rekod berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini kerajaan Arab Saudi masih mewajibkan bakal jemaah mengambil suntikan vaksin Meningococcal kepada mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan mempunyai penyakit komorbid atau mengalami masalah sistem imun lemah, diwajibkan mengambil vaksin Meningococcal, influenza dan COVID-19.
"Buat masa ini, bakal haji disarankan mengambil suntikan vaksin Meningococcal dan influenza setelah lulus pemeriksaan kesihatan manakala bagi vaksin COVID-19, pemakluman mengenai suntikan vaksinasi itu akan dimaklumkan oleh TH/KKM kemudian.
"Proses penambahbaikan ini usaha berterusan TH kepada bakal jemaah haji untuk menjimatkan masa, tenaga dan memudahkan urusan dalam proses persiapan menunaikan haji pada tahun akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial