AM > BERITA

RKB DI LANDASAN TEPAT TINGKAT KECEKAPAN PERKHIDMATAN AWAM

18/12/2024 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Usaha Kerajaan MADANI mereformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh kini berada di landasan yang tepat dengan pengenalan Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Uji Kaji Peraturan (UKS).

Dua dokumen penting bagi menjayakan Reformasi Kerenah Birokrasi itu menggariskan panduan lengkap untuk mengurangkan karenah birokrasi perkhidmatan awam, di samping memastikan tatakelola peraturan yang lebih jelas, cepat, cekap dan berkesan. 

Usaha itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai maltlamat perkhidmatan awam berprestasi tinggi seperti yang termaktub dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Zahid Ismail berkata dokumen yang dibangunkan secara bersama dengan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) itu memberikan panduan jelas mengenai tatacara pelaksanaan RKB serta proses uji kaji peraturan.

Beliau berkata RKB yang diperkenalkan kerajaan bertujuan mengurangkan beban peraturan tidak wajar di peringkat kementerian dan agensi kerajaan yang memberi kesan kepada pertumbuhan perniagaan, ekonomi dan rakyat, selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

"Langkah ini akan memastikan setiap inisiatif penambahbaikan dapat diurus secara sistematik dan mencapai matlamat yang disasarkan.

"Sebagai agensi peneraju program RKB, MPC bertindak sebagai pembimbing kepada kementerian dan agensi lain untuk melaksanakan RKB ke arah meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ketulusan dalam perkhidmatan masing-masing," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Pekeliling RKB dan UKS itu dilancarkan pada 24 Nov lepas sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Zahid berkata MPC telah melaksanakan 200 projek program RKB pada tahun ini dan antara kejayaan yang dicapai termasuk inisiatif Projek Kulai Fast Lane (KFL), Sistem SMARTGPB dan Xpats Gateway, manakala bagi tahun hadapan, sebanyak 500 projek RKB baharu akan dilaksanakan.

Beliau berkata inisiatif KFL yang mesra pelabur itu akan memendekkan masa pelaksanaan projek pembangunan daripada antara 24 hingga 36 bulan kepada 14 bulan yang kini berjaya menarik pelaburan berjumlah RM40.70 billion serta mewujukan 7,000 peluang pekerjaan di Kulai, Johor.

"Melalui SMARTGPB yang mendigitaliasikan proses pelepasan kastam di Gudang Pengilangan Berlesen (GPB), sebanyak 80 peratus permohonan diluluskan secara automatik dalam tempoh seminit berbanding kelulusan manual dengan tempoh tiga hingga tujuh hari dan langkah itu memberi penjimatan kos RM200 juta setahun kepada syarikat GPB.

"Xpats Gateway pula mentransformasi proses kelulusan ekspatriat dengan mengintergrasi 25 agensi kawal selia menerusi satu platfrom gerbang tunggal, yang telah memendekkan masa kelulusan daripada enam bulan kepada lima hari bagi pemprosesan laluan pantas dan 15 hari bagi laluan biasa," katanya.

Selaras dengan ledakan teknologi, Zahid berkata MPC juga berusaha memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di kementerian dan agensi kerajaan untuk mempercepat proses analisis data secara mendalam, memperkasakan sesi percambahan fikiran efisien serta memudahkan pembangunan pelan tindakan strategik yang berkesan.

Beliau berkata usaha itu membantu proses membuat keputusan yang lebih tepat dan pantas berdasarkan data, membolehkan tindak balas segera dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat dan perniagaan selain mengurangkan kebergantungan proses manual yang meminimumkan risiko kesilapan manusia serta menjimatkan masa dan kos operasi.

"Penggunaan AI juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada proses manual, yang bukan sahaja meminimumkan risiko kesilapan manusia tetapi juga menjimatkan masa dan kos operasi,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Digital Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Norbik Bashah Idris berkata pelaksanaan aplikasi MyDigital ID oleh kerajaan juga mampu mengurangkan birokrasi oleh kerajaan, selain dapat memastikan semua perkhidmatan di sektor awam dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan efisien.

“Dengan pengesahan identiti secara digital, proses pentadbiran dapat dipercepatkan, sekali gus ia dapat mengurangkan keperluan untuk dokumen fizikal dan prosedur manual, dan seterusnya mengurangkan birokrasi dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata aplikasi yang mencecah sejuta pengguna yang berdaftar itu sedang diintegrasikan dengan aplikasi seperti MyJPJ, membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah dan selamat.

“Secara keseluruhan, aplikasi MyDigital ID berperanan penting dalam memperkukuh landskap digital Malaysia, memastikan keselamatan data peribadi pengguna dan memudahkan akses kepada perkhidmatan dalam talian dan menyumbang secara positif kepada agenda digitalisasi kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan