Guru Taska Disyaki Dera Bayi 11 Bulan Disambung Reman Tiga Hari

18/12/2024 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Tempoh reman seorang guru taska bagi membantu siasatan kes mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan disambung tiga hari lagi hingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata proses sambung reman dibuat berikutan tempoh reman wanita berusia 24 tahun itu tamat hari ini.

"Siasatan setakat ini mendapati suspek tidak mempunyai sijil tauliah bagi tugasnya dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dipercayai suspek mencubit pipi (bayi lelaki)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan wanita itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 6.50 petang, Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya selepas mengambil bayi itu dari sebuah taska pada 6.15 petang, Jumaat lepas.

Lelaki itu dimaklumkan oleh pengasuh taska bahawa kesan lebam itu berpunca akibat anaknya terjatuh dari meja di dalam taska. 

Bapa bayi itu kemudian menerima panggilan daripada penyelia taska pada Sabtu yang memaklumkan kesan lebam berkenaan berpunca daripada perbuatan pekerjanya, sebelum membawa anaknya itu ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan