AM > BERITA

Kerajaan Digesa Kawal Premium Insurans Perubatan Supaya Adil, Berpatutan

18/12/2024 03:35 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan perlu campur tangan dan mengawal harga insurans perubatan bagi memastikannya adil dan berpatutan berikutan kebimbangan orang ramai mengenai langkah syarikat insurans dan pengendali takaful yang dijangka menaikkan premium insurans perubatan.

Pensyarah kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Azian Madun berkata campur tangan kerajaan adalah penting untuk mengelakkan kenaikan premium yang tidak wajar dan terlalu tinggi kepada pengguna serta memastikan kemampanan polisi insurans dalam jangka panjang.

“Kerajaan MADANI yang memartabatkan amalan beretika dan lebih telus perlu campur tangan dan mengambil tindakan untuk menangani isu ini. Jika tidak, insurans akan menjadi satu kemewahan yang hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang beberapa minggu lepas, industri insurans dan takaful menerima banyak maklum balas selepas mengumumkan kenaikan mendadak premium insurans perubatan yang dilaporkan antara 40-70 peratus, berikutan dakwaan mereka mengenai kos perubatan yang tinggi.

Bagaimanapun kalangan ahli parlimen di Dewan Rakyat pada minggu lepas menegaskan bahawa syarikat insurans dan hospital swasta telah meraih keuntungan tinggi dan pertumbuhan hasil yang konsisten.

Mereka menyatakan kebimbangan bahawa kedua-dua pihak telah memindahkan kos yang tinggi kepada pengguna dan pemegang polisi yang telah terbeban dari segi kewangan akibat kenaikan harga makanan dan kos lain termasuk rasionalisasi harga diesel.

Isu ini menarik perhatian Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan untuk membuat keputusan mengenai mekanisme kawalan bagi memastikan kenaikan premium adalah wajar dan tidak membebankan rakyat.

Menurut anggota parlimen, pemegang polisi berkata mereka telah membayar kadar baharu yang dianggap terlalu tinggi.

 Bagaimanapun menurutnya pemegang polisi tiada pilihan melainkan melakukan pembayaran berikutan bimbang sekiranya tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi.

Sebahagian individu tidak mampu membayar kadar insurans baharu dan mungkin hilang perlindungan, menurut penggubal undang-undang yang berkongsi kes seorang pemegang polisi yang memaklumkan kadar premium baharunya akan melebihi perlindungan insurans beliau tidak lama lagi.

BNM akan mengumumkan butiran lanjut mengenai langkah sementara bagi menangani kenaikan premium insurans tidak lama lagi.

Sementara itu, Azian menggesa pihak berkepentingan sistem penjagaan kesihatan terutamanya syarikat insurans, hospital swasta dan farmasi agar lebih berwaspada dan membuat pertimbangan dalam menjalankan perniagaan khususnya dalam mengimbangkan keuntungan dengan kesejahteraan pengguna.

“Kerajaan perlu mengawal harga yang ditetapkan oleh syarikat insurans, hospital swasta dan farmasi untuk memastikan mereka mempertimbangkan paras keuntungan yang wajar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan