AM > BERITA

KPKM Diminta Kaji Mekanisme Kawalan Percampuran Beras Putih Tempatan Dan Import

18/12/2024 07:03 PM

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diminta untuk mengkaji mekanisme kawalan percampuran beras putih tempatan dan beras putih import beserta simulasi harga, kata Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata ia merupakan antara syor Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) selepas meneliti hasil dapatan Kajian Industri Padi dan Beras di Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Mohamad berkata KPKM juga telah diminta mengkaji bentuk bantuan dan sokongan yang boleh diberikan kepada golongan pesawah serta industri padi dan beras bagi menyerap kesan kenaikan kos pengeluaran padi dan beras.

"Kajian-kajian ini hendaklah disediakan secara komprehensif dan dibentangkan ke kabinet pada bulan depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mesyuarat JKKMN kali ini telah meneliti dua kertas kerja yang merangkumi satu kertas pembentangan khas dan satu kertas pertimbangan.

Mesyuarat juga telah meneliti kertas berkenaan mekanisme subsidi telur ayam serta kesannya kepada industri, dan Mohamad berkata satu sesi libat urus bersama pemain industri akan diadakan bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan subsidi telur ayam.

Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju agar inisiatif berkaitan industri padi dan beras serta telur dilaksanakan segera bagi memastikan kemampanan industri serta ketersediaan bekalan komoditi makanan tersebut sentiasa terjamin.

"KPKM komited untuk memastikan keputusan yang diambil, akan memberikan keseimbangan dan tidak akan membebankan rakyat serta industri, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan.

"Mesyuarat menyeru agar semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara agar lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Mesyuarat JKKMN itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri, timbalan menteri, ketua-ketua setiausaha serta Gabenor Bank Negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan