AM > BERITA

Amalan Sharenting Dedah Kanak-kanak Kepada Bahaya Dalam Talian - CMCF

18/12/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Amalan sharenting atau menunjuk-nunjuk mendedahkan kanak-kanak kepada risiko bahaya dalam talian dan mencetuskan kebimbangan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, yang mengutamakan perlindungan privasi, keselamatan serta kesejahteraan golongan itu.

Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali berkata ibu bapa serta penjaga mempunyai tanggungjawab asas untuk memastikan hak anak-anak, termasuk hak terhadap maruah dan keselamatan mereka, tidak terjejas melalui aktiviti dalam talian.

“Kita sering mengajar anak-anak supaya berhati-hati dalam talian tetapi ibu bapa tanpa sedar boleh melemahkan pengajaran berkenaan.

“Berkongsi secara berlebihan, walaupun dengan niat yang baik boleh menjejaskan keselamatan, privasi, dan kesejahteraan emosi anak-anak kita. Kita mesti berhenti dan berfikir sebelum menekan butang post kerana Internet tidak pernah lupa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Sharenting pada asasnya ialah gabungan dua perkataan Bahasa Inggeris iaitu sharing dan parenting manakala istilah sharenting pula merujuk kepada fenomena perkongsian foto serta video anak-anak selain maklumat pengenalan diri yang lain oleh ibu bapa pada akaun media sosial mereka sendiri.

Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood berkata peluang menjana pendapatan melalui kandungan digital juga meningkatkan risiko eksploitasi, pendedahan berlebihan dan penyalahgunaan maklumat peribadi kanak-kanak.

“Apabila ibu bapa, guru atau penjaga mengutamakan keuntungan berbanding kesejahteraan anak-anak, masyarakat perlu tampil memperjuangkan perlindungan yang lebih kukuh demi menjaga hak dan maruah mereka,” katanya. 

CMCF turut menyokong kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Selasa mengenai risiko sharenting yang semakin membimbangkan apabila ibu bapa tanpa sedar mendedahkan anak-anak kepada bahaya dalam talian dengan berkongsi maklumat dan kandungan peribadi mereka.

Risiko itu bukan sekadar teori sebaliknya kes jenayah membabitkan kanak-kanak seperti kecurian identiti dan pengantunan dalam talian terus meningkat di seluruh dunia.

“Untuk menangani cabaran ini, CMCF terus bekerjasama dengan platform teknologi, pendidik, ibu bapa dan organisasi masyarakat sivil untuk meningkatkan kesedaran serta menyediakan alat bagi melindungi keselamatan kanak-kanak dalam talian,” menurut kenyataan itu.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah bengkel dan latihan iaitu program untuk ibu bapa serta pendidik memahami risiko berkongsi secara berlebihan selain mengamalkan tabiat dalam talian yang lebih selamat serta kerjasama dengan platform seperti TikTok, Meta dan Google untuk memperkukuh alat privasi serta meningkatkan mekanisme keselamatan untuk keluarga.

CMCF turut melaksanakan kempen advokasi menerusi inisiatif awam seperti #ThinkTwice yang mempromosikan literasi media dan perkongsian kandungan secara bertanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan