SHAH ALAM, 18 Dis (Bernama) -- Polis mengesahkan menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes cubaan gangguan seksual dan merakam video seorang wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata lelaki itu ditahan di sekitar Banting dan direman dua hari hingga esok.
"Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku bahawa dia adalah individu terbabit sebagaimana dalam rakaman kamera litar tertutup.
"Semakan mendapati, lelaki itu yang tidak mempunyai rekod lampau itu juga mengakui pertama kali melakukan perbuatan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Isnin, Akmalrizal dilaporkan berkata pihaknya memburu seorang lelaki berkaitan kes rakam dan gangguan seksual di sebuah pasar raya di Jenjarom, susulan laporan kes yang diterima pada 10.36 pagi, 9 Dis lepas oleh mangsa yang juga wanita warga tempatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial