AM > BERITA

Keluarga Nelayan Hilang Masih Berharap Ditemukan Selamat

21/12/2024 06:17 PM

BALIK PULAU, 21 Dis (Bernama) -- Dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot mereka dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang di sini pada Isnin lepas diharap akan ditemukan dalam keadaan selamat.

Keluarga mangsa juga berharap jasad kedua-dua lelaki itu akan ditemukan sekiranya didapati lemas dalam kejadian berkenaan.

Ismail Ibrahim, 51, bapa kepada Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, seorang daripada mangsa yang hilang di laut itu berkata mereka sekeluarga reda dengan apa sahaja ketentuan dan takdir yang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu.

“Kami sekeluarga terutama saya sebagai ayah memang mengharapkan anak dan rakannya yang hilang itu ditemukan dalam keadaan selamat atau dalam apa keadaan sekalipun, tetapi kalau sudah ditakdirkan sebaliknya (telah meninggal dunia), saya reda.

“Kalau kita tak mahu reda pun tak boleh nak buat apa, Allah dah tentukan keadaan dia macam (mereka) itu, tapi kami setiap hari berdoa dan mengadakan solat hajat agar mereka dapat jumpa dalam keadaan elok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dua nelayan hilang selepas bot yang dinaiki dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang, dekat sini Isnin lepas.

Ismail berkata mereka sekeluarga juga telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa hari ini merupakan hari terakhir operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, kerana sehingga kini tiada petunjuk keberadaan dua nelayan itu.

“Malam semalam pun pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang maklumkan telah pergi ke lokasi perairan yang nelayan beritahu nampak bot seperti bot yang dinaiki anak saya, namun bila pihak APMM mencari di situ, tiada apa-apa petunjuk ditemukan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fitri Badiuzzaman, 38, bapa tiri kepada seorang lagi nelayan yang hilang iaitu Nor Hasrul Abdullah, 25, berkata walaupun pencarian tidak menampakkan sebarang petunjuk, namun naluri seorang bapa mengatakan anak yang dipelihara sejak kecil itu masih hidup.

Beliau yang juga siak di Masjid At-Taqwa Kongsi Balik Pulau berkata mereka sekeluarga dan jemaah masjid telah mengadakan solat hajat bagi memohon agar Nor Hasrul dan rakannya Muhammad Ikmal Hakimi ditemukan dalam keadaan selamat.

Mohamad Fitri berkata beliau juga berharap jika sudah meninggal dunia, sekurang-kurangnya jasad mereka akan ditemukan, kerana sejak pihak berkuasa melakukan pencarian mereka memang tidak menemui sebarang petunjuk.

Beliau turut menyifatkan Nor Hasrul seorang anak yang baik dan rajin bekerja, dengan 15 hari turun ke laut dan 15 hari lagi melakukan kerja-kerja kampung seperti mengambil upah mesin rumput serta bertukang rumah.

Semalam APMM Pulau Pinang memaklumkan operasi diteruskan sejak hari pertama ia diaktifkan pada Selasa lepas dan keluasan sektor pencarian menjangkau hampir 250 batu nautika persegi.

Operasi SAR di kawasan sektor pencarian dilaksanakan oleh tiga aset laut dan dua pesawat udara yang dijalankan oleh APMM Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan