KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Penyedia platform media sosial diminta segera mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing menjelang penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi pada 1 Jan 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tarikh akhir mengemukakan permohonan adalah sebelum atau pada 31 Dis.
Beliau turut memuji langkah Telegram dan Tencent (WeChat) yang telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.
“Terima kasih kepada Tencent dan Telegram kerana sudi bekerjasama dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Saya harap platform lain akan ikuti langkah mereka kerana jika mereka (penyedia platform) ingin memberi perkhidmatan di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pelakon veteran Sathia Periasamy atau Sathiya sempena sesi Ziarah MADANI@Finas di Setapak Jaya di sini hari ini.
Semalam, MCMC menerusi kenyataan memaklumkan keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Jan itu bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
Ia dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.
Kegagalan mengemukakan permohonan boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia perkara yang mahu dielakkan semua pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial