AM > BERITA

"Luka" Lama Belum Sembuh, Penduduk Kelantan Dilanda Bah Sekali Lagi

29/12/2024 10:18 PM

KOTA BHARU, 29 Dis (Bernama) -- Baru sahaja memulakan langkah untuk membina semula kehidupan, penduduk di Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang kini terpaksa berhadapan dengan banjir yang melanda sekali lagi.

Usaha menyembuhkan "luka" lama akibat gelombang pertama dan kedua bencana itu baru-baru ini masih belum pulih, episod duka itu berulang lagi apabila ketiga-tiga daerah berkenaan dilanda bah hari ini dan "menghanyutkan" segala jerih perih mereka selama ini.

Suhardi Aziz, 50, dari Kampung Batu 9, Batang Merbau di Tanah Merah berkata dia berdepan dengan banjir buat kali ketiga tahun ini dan air yang naik begitu pantas menyebabkan dia hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting.

"Saya hanya mampu termenung kerana barang-barang di rumah yang terjejas banjir sebelum ini masih belum pulih sepenuhnya, kini air memasuki rumah lagi. Kesan selut banjir lepas juga masih berbekas, tiada gunanya saya membersihkan kotoran dan lumpur apabila dilanda bah semula," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang mangsa dari Kampung Tengah, Machang, Yaseer Abdullah, 45, berkata rumahnya dinaiki air sejak 9 pagi tadi setelah hujan lebat tidak henti-henti mencurah.

"Setiap kali hujan lebat, hati saya tidak tenang, baru nak bangkit semula, air naik kembali pada paras pinggang. Semua usaha membersihkan rumah habis begitu sahaja.

"Barang-barang yang saya cuba selamatkan dulu juga tenggelam semula, tetapi saya tidak akan berputus asa dan terus 'berjuang'," katanya.

Penduduk di Kampung Keroh, Kuala Krai, Nik Sofia Nuranis Nik Ismail, 27, berkata rumahnya dinaiki air setinggi paras lutut dan berjaya memindahkan beberapa barang ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan ia hanyut seperti banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Hujan lebat sejak malam tadi membuatkan saya sekeluarga mengemas barang, namun ada juga barang yang rosak dan hanyut," katanya yang berdepan banjir dua hingga empat kali setahun.

Sementara itu, hujan lebat sejak pagi tadi turut menyebabkan berlaku runtuhan tanah di lereng bukit yang menghempap bahagian hadapan sebuah rumah di Kampung Nganga, Kuala Krai, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan mendapati tanah runtuh telah menghempap bahagian hadapan rumah, pagar dan garaj kenderaan pada 1.40 tengah hari tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan